KLOPP kesal FA Inggeris gesa pemain beraksi tiga perlawanan dalam tempoh lima hari.
KLOPP kesal FA Inggeris gesa pemain beraksi tiga perlawanan dalam tempoh lima hari.

Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp mendakwa Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris melayan Jordan Rossiter “bagaikan seekor kuda” kelmarin selepas pemain tengah itu kembali daripada tugasan bersama skuad B-19 England dengan kecederaan hamstring.

“Pemain muda ini masa depan kita. Jika kita melayan mereka seperti kuda, kita akan dapat kuda,” jelas Klopp.

“Rossiter satu cerita istimewa. Saya tidak pernah dengar pemain berusia 18 tahun bermain tiga perlawanan dalam tempoh lima hari. Itulah sebabnya dia cedera dan saya tidak fikir dia bersedia bagi tugasan antarabangsa berikutnya.

“Saya tidak tahu dengan siapa saya perlu bercakap mengenai perkara ini, tapi saya akan cari jalan kerana ia tidak OK. Pada hari pertama saya, saya tidak mahu menelefon sesiapa di FA, tapi sudah tentu ini tidak OK.”

Rossiter pemain terbaru skuad Liverpool mengalami kecederaan sekali gus menyukarkan persiapan Klopp selepas menggantikan Brendan Rodgers sebagai pengurus.

Penyerang Danny Ings dan pertahanan muda Joe Gomez baru-baru ini menjalani pembedahan lutut manakala kapten Jordan Henderson (kaki) dan pertahanan Jon Flanagan (lutut) sudah lama terpaksa diketepikan.

Penyerang Daniel Sturridge terlepas aksi ketika seri 0-0 dengan Tottenham Hotspur minggu lalu selepas cedera lututnya ketika latihan dan Klopp berkata, dia mungkin boleh beraksi menentang Southampton dalam aksi Liga Perdana, Ahad ini. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 10:45 AM