AKSI Shaqiri (kanan) ketika Switzerland menentang  Lithuania pada kelayakan Piala Dunia 2022, pada Selasa lalu.  Shaqiri antara nama besar yang bakal dilepaskan Liverpool. FOTO AFP
AKSI Shaqiri (kanan) ketika Switzerland menentang Lithuania pada kelayakan Piala Dunia 2022, pada Selasa lalu. Shaqiri antara nama besar yang bakal dilepaskan Liverpool. FOTO AFP
Agensi

London: Liverpool dilaporkan bakal melepaskan sehingga tujuh pemain pada musim panas ini dalam usaha Jurgen Klopp memulihkan semula reputasi The Reds.

Selepas cemerlang dua musim lalu, skuad Klopp kini berdepan kemerosotan prestasi dengan Liverpool tewas enam aksi terakhir Liga Perdana di Anfield sekaligus terperosok di tangga ketujuh liga.

Walaupun dikaitkan dengan pembelian Ibrahima Konate, Kalidou Koulibaly dan Donyell Malen, Reds tampak mahu menyuntik tenaga lebih segar dalam skuad mereka dan The Mirror mendakwa sehingga tujuh pemain bakal dikorbankan untuk tujuan itu.

Georginio Wijnaldum antara pemain berprofil tinggi yang akan dilepaskan ketika kontrak pemain Belanda akan tamat beberapa bulan lagi.

Pemain berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan Barcelona walaupun gergasi La Liga itu dilaporkan mengutamakan penyambungan kontrak baru pemain muda, Ilaix Moriba.

Curtis Jones mungkin menggantikan tempat Wijnaldum di bahagian tengah Liverpool.

Nama besar lain turut terbabit ialah wira Liga Juara-Juara 2019, Divock Origi dan bintang Switzerland, Xherdan Shaqiri.

Origi meledak jaringan ketika menentang Spurs ketika Reds meraih gelaran Piala Eropah kali keenam tetapi selepas itu hanya lima kali menggegar gawang lawan dan Liverpool sedia mendengar tawaran untuknya.

Shaqiri yang berusia 29 tahun hanya beraksi 19 perlawanan Liga Perdana sejak permulaan musim lalu walaupun Liverpool masih berharap dapat mengaut keuntungan daripada £13 juta yang dihabiskan ketika mendapatkannya dari Stoke City pada 2018.

The Reds turut tidak berminat memperbaharui kontrak penjaga gol veteran, Adrian. Penjaga gol Sepanyol itu yang beraksi hanya 11 kali ketika menjuarai Liga Perdana musim lalu kini menjadi pilihan ketiga di belakang Caoimhin Kelleher.

Selain itu trio bintang akademi mereka juga bakal ditunjukkan pintu keluar.

Antaranya Harry Wilson, 24, yang kini dipinjamkan ke Cardiff dan Ben Woodburn yang menjadi penjaring termuda Liverpool pada usia 17 tahun 45 hari pada 2016 namun bergelut selepas mengalami kecederaan.

Sheyi Ojo pula beraksi 13 kali bersama skuad senior Liverpool tetapi pada usia 23 tahun, seperti Wilson dia turut dipinjamkan ke Cardiff dan bakal dilepaskan pada musim panas ini.

Bagaimanapun, seorang pemain yang masih diberi peluang menyinar di Anfield ialah bintang Jepun, Takumi Minamino.

Pemain berusia 26 tahun itu yang meledak jaringan ketika Jepun membelasah Mongolia pada Selasa lalu kini semakin menyerlah di Southampton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 8:46 PM