Syanty Octavia Amry


Cuaca panas yang dikenali sebagai fenomena alam, El Nino melanda negara agak membimbangkan.

Namun, ada faktor lain menambah rasa bahang dikenal pasti iaitu ‘Demam Panas AJL’ sempena Anugerah Juara Lagu 30.

Bersiaran secara langsung di TV3, acara berprestij ini diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada Ahad ini, jam 9 malam.

Jika ingin tahu sejauh demam ini merebak, taip saja carian #KarokAJL di aplikasi Instagram dan saksikan orang ramai menyanyikan lagu finalis yang pernah bertanding dalam AJL.

#KarokAJL diperkenalkan TV3 untuk memeriahkan lagi AJL30 di laman sosial.

Malah #KarokAJL juga sebuah peraduan apabila pemenangnya layak membawa pulang wang tunai RM300.

Peserta hanya perlu menyanyikan lagu yang pernah dipertandingkan dalam AJL di akaun Instagram masing-masing dengan meletakkan hashtag #KarokAJL dan #AJL30.

Antara pencetus awal ‘demam’ itu adalah selebriti media sosial terkenal, Faizdickie yang mengajak orang ramai dan selebriti mendominasikan rakan mereka bagi menyertai cabaran itu.

Sehingga kini, hampir 1,000 video dimuat naik dengan hashtag berkenaan selain ramai selebriti terkenal tanah air turut menyahut cabaran sesama rakan artis.

Antaranya ialah Nadzmi Adhwa, Mia Ahmad, Amar Baharin, Amyra Rosli, Syarul Ridzwan, Janna Nick, Dayang Nurfaizah, Sandra, Anis Al Idrus, Syuhada, Ayda Jebat, Hafreez Adam, Drama Band dan Tasha Manshahar.

Nama pemenang diumumkan di media sosial @tv3malaysia pada 25 Januari ini dan layak membawa pulang wang yang dijanjikan.

Orang ramai dialu-alukan menyertai peraduan yang tamat pada 24 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:27 AM