AWEERA
AWEERA
BLACK & RJ bereggae dan rap.
BLACK & RJ bereggae dan rap.
ALIF Satar
ALIF Satar
HAZAMA
HAZAMA
Syanty Octavia Amry

Sepuluh daripada 30 lagu yang bertanding ke separuh akhir Muzik Muzik 29 sudahpun menunjukkan persembahan lagu masing-masing pada malam Jumaat lalu.

Antara lagu yang bertanding untuk minggu pertama ialah Malaikat (Hazama), Dia Yang Kau Pilih (Faizul Sany, nyanyian asal Shahir), Hilang (Najwa Latif), Romancinta (MOJO), Si Putih Si Merah (Black & RJ), Akhiri Penantianku (Alif Satar), Dunia & Syurga (Akim), Cinta Tak Pergi (Tomok & Yana Samsudin) dan Gilalah (Stacy).

Bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentra, Shah Alam, hanya 12 lagu terbaik dipilih untuk menempatkan diri masing-masing bertanding ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang bakal disiarkan pada 18 Januari depan.

Dihoskan AG dan Scha Al-Yahya, separuh akhir Muzik-Muzik 29 bersiaran secara langsung menerusi TV3 bakal memperlihatkan 20 lagi lagu yang akan dipersembahkan pada 21 dan 28 November ini.

Dihakimi juri profesional dalam bidang muzik, antara juri yang bertanggungjawab menilai lagu yang bakal dibawa ke pentas AJL29 nanti adalah Edrie Hashim, Damian Mikhail, Helen Yap, LY, Ad Samad, Datuk Mokhzani dan Azmeer selaku ketua juri.

Sebuah lagu terbaik diumumkan pada minggu pertama dan kedua namun tidak semestinya lagu itu terpilih ke AJL29. Keputusan 12 lagu yang bakal bertanding diumumkan pada minggu ketiga separuh akhir Muzik-Muzik 29.

Sementara itu, Faizul Sany yang dipilih untuk menyanyikan lagu Dia Yang Kau Pilih nyanyian asal Shahir mengakui rasa tertekan pada awal diberi tanggungjawab menyanyikan lagu berkenaan.

"Saya akui tertekan pada awal menyanyikan lagu ini, namun akhirnya rasa gembira dan berbesar hati kerana ini peluang buat artis baru seperti saya dalam menempatkan diri untuk anugerah berprestij seperti ini.

"Jauh di sudut hati saya berharap lagu ini dapat ke final kerana saya bekerja keras, malah saya berlatih tiga minggu untuk menghafal lagu ini.

"Dua minggu pertama setiap hari saya dengar untuk menghayati liriknya dan minggu terakhir saya belajar kelas vokal dengan Cikgu Syafi.

"Vokal kami juga berbeza di mana Shahir mempunyai nada suara yang rendah berbeza dengan suara saya, justeru, ia agak sukar untuk saya bawa dengan cara sendiri," katanya.

Faizul berkata, pada awal diberi tanggungjawab oleh pengurusan, dia harus menggantikan tempat Shahir untuk menyanyikan lagu ini. Ramai peminat yang tertanya-tanya mengapa dia yang dipilih.

"Saya tidak tahu hendak menjawab soalan peminat. Ramai bertanya kepada saya kenapa saya yang harus menyanyikannya? Di mana Shahir? Saya tiada jawapan untuk soalan mereka, saya hanya melakukan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pengurusan," katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon dan juga penyanyi Yana Samsudin mengakui berasakan diri begitu kerdil sekali berada di pentas Muzik Muzik 29 oleh kerana semuanya yang bersaing hebat-hebat belaka.

"Saya pernah menyanyi dulu tetapi ketika itu menyanyikan runut bunyi dan pengalamannya begitu berbeza dengan beraksi secara 'live'.

"Malah ini bukanlah bidang saya kerana saya lebih kepada bidang lakonan. Sewaktu membuat persembahan tadi, saya merasakan seperti menaiki 'roller coaster'. Semua perasaan bercampur baur. Saya tak rasa kaki saya masa menyanyi tadi kerana terlalu berdebar," katanya.

Yana berkata, rakan duetnya menerusi lagu Cinta Tak Pergi adalah individu yang banyak memberikan sokongan kepadanya. Selain memberikan kata-kata semangat kepada Yana, Tomok juga turut menasihati Yana untuk mendapatkan rehat secukupnya bagi membuat persembahan.

"Tomok adalah orang yang banyak membantu serta memberikan sepenuh sokongan kepada saya. Dia turut menasihati saya untuk mendapatkan rehat yang cukup. Kami tidak mempunyai masa untuk berlatih bersama kerana mempunyai jadual yang padat namun saya ikut nasihat Tomok untuk mendapatkan tidur yang cukup.

"Sekiranya lagu ini layak untuk mara ke AJL29 tahun depan, saya akan mengambil pendekatan untuk menggunakan khidmat guru vokal. Saya juga mencuba yang terbaik bagi mengatasi gemuruh saya ini," katanya lagi.

Apapun pada malam itu semua finalis cuba memberikan yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:02 AM