CELINE Dion (kiri) dan Rene Angelil selepas menerima anugerah Order of Canada di Quebec City, Kanada pada 2013. FOTO Reuters
CELINE Dion (kiri) dan Rene Angelil selepas menerima anugerah Order of Canada di Quebec City, Kanada pada 2013. FOTO Reuters
Agensi

Las Vegas (Amerika Syarikat): Suami dan pengurus kepada penyanyi popular Celine Dion, Rene Angelil, 73, meninggal dunia akibat kanser kerongkong di Las Vegas, hari ini.

Dion, 47, menerusi laman webnya mengesahkan suaminya itu meninggal dunia di sisinya di kediaman mereka di Las Vegas selepas menderita penyakit itu sejak 1999.

Berikutan pemergian suaminya, penyanyi Kanada itu membatalkan persembahannya di The Colosseum, Caesars Palace, Las Vegas hujung minggu ini dan hanya akan kembali mengadakan persembahan pada 23 Februari depan.

Angelil yang mengenali Dion ketika penyanyi itu berusia 12 tahun adalah individu yang bertanggungjawab menjadikan Dion penyanyi terkenal seluruh dunia.

Angelil kemudian menjadi pengurus Dion sebelum mereka berkahwin pada 1994.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Rene-Charles, 14, dan anak kembar berusia lima tahun, Nelson dan Eddy. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 10:39 AM