Oleh Muhammad Apendy Issahak


Parit: Mahkamah Majistret, di sini hari ini membenarkan kes anggota komando yang didakwa memiliki sehelai baju-T yang mempunyai kaitan dengan militan IS pada November tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk sebutan semula.

Tertuduh, Mohd Abu Haliff Shah Abu Bakar, 29, yang berkhidmat di Kem Sungai Udang, Melaka, sebelum ini didakwa di mahkamah di sini mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan pada 1 Disember lalu.

Majistret Mohd Fitri Sadarudin membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof.

Mohd Fitri turut membenarkan tertuduh dipindahkan daripada tahanan di penjara Taiping ke penjara Sungai Buloh, Selangor.

Ketika pendakwaan sebelum ini, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Abu Haliff Shah, yang didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Baru, Mukim Lambor Kiri, Bota, di sini pada 1.30 tengah hari 12 November lalu.

Tarikh sebutan semula kes berkenaan akan dimaklumkan kemudian dan tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes mengangguk faham dengan keputusan dibuat mahkamah.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan hak terhadap bahan berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 11:02 AM
TERTUDUH didakwa memiliki barangan yang berkaitan dengan militan IS. FOTO Muhaizan Yahya
TERTUDUH didakwa memiliki barangan yang berkaitan dengan militan IS. FOTO Muhaizan Yahya