Zairosfitri diiringi anggota polis selepas  didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas. FOTO Muhaizan Yahya
Zairosfitri diiringi anggota polis selepas didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak

Tapah: Pemuda berusia 24 tahun didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish pada Mac lalu.

Zairosfitri Jainiddin Azhar didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan Daish di alamat Blok A Perumahan Awam 2, Chenderiang, dekat sini pada 25 hingga 30 Mac lalu.

Tertuduh hanya mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan dihadapan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farahiyah Nadzri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Fatin Farahiyah meminta kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius.

Ahmad Asyraf kemudian menetapkan 20 September ini sebagai sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh disambung reman di Penjara Taiping.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk kesalahan yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 10:28 AM