Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan iaitu memiliki dan mendedahkan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta menyiarkan tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH).

Rafizi atau nama penuhnya Mohd Rafizi Ramli, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan dan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Setiausaha Agung PKR itu didakwa memiliki tanpa kebenaran yang sah halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB yang mana tertuduh mendapatkannya bersalahan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas manakala Rafizi diwakili peguam bela R Sivarasa.

Terdahulu, Mohamad Abazafree memaklumkan pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing bersetuju wang jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Zulqarnain kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, Rafizi didakwa menyiarkan tohmahan di laman web www.rafiziramli.com terhadap TH dengan ada sebab untuk mempercayai tohmahan itu akan merosakkan nama baik Lembaga Tabung Haji, pada jam 9 pagi, 18 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201 Jalan Tun Razak, Dang Wangi, pada 9 pagi pada 18 Februari lalu.

Majistret Mohd Rehan membenarkan Mohd Rafizi diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 9:55 AM
RAFIZI (tengah) diiringi polis  bagi mendengar pertuduhan.
RAFIZI (tengah) diiringi polis bagi mendengar pertuduhan.