AMIRUDIN (kanan) berbincang bersama ketua pasukan Shahrom Kalam selepas sesi latihan semalam.
AMIRUDIN (kanan) berbincang bersama ketua pasukan Shahrom Kalam selepas sesi latihan semalam.

Shah Alam: Kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia menjadi sasaran Selangor musim ini dengan Zainal Abidin Hassan dipertanggungjawabkan memastikan impian itu menjadi kenyataan.

Pengurus pasukan, Amirudin Shari berkata, sasaran itu dianggap realistik berdasarkan himpunan pemain berkualiti di samping kehadiran Zainal diyakini mampu memikul tugasan berkenaan.

Jelasnya, selain itu skuad kendalian Zainal juga diharapkan mengutip seberapa banyak mata dalam saingan Piala AFC dengan mensasarkan kedudukan berada dalam kelompok 100 kelab terbaik Asia.

“Berbekalkan pengalaman Zainal, saya optimis sasaran diletakkan ini dapat dicapai sekali gus mengembalikan semula Selangor selaku gergasi bola sepak tempatan.

“Malah, kami juga ingin melihat Selangor dapat bersaing secara sengit di peringkat Asia dan berharap usaha pihak pengurusan membawa masuk pemain terbaik ini membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama Selangor di Stadium Mini, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyifatkan tindakan pengasas Vida Beauty Qu Puteh Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang mengaitkan nama pasukannya sekadar ‘usikan manja’ dan mengakui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) juga sedang mencari penaja sokongan.

“Kami sedang mencari penaja untuk pasukan ini, namun belum ada lagi mana-mana syarikat kecantikan yang datang berjumpa secara rasmi untuk menghulurkan penajaan.

“Jika benar mahu menaja, beberapa syarat harus diteliti lebih lanjut.

“Mereka kena faham, takkan mungkin Merah Kuning yang menjadi warna tradisi pasukan perlu ditukar atau ditambah. Banyak yang harus dibincang andai benar mereka ingin menaja Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 8:27 AM