WAN Abd Aziz (tengah) menunjukkan barang kes. FOTO Syahirah Abdullah
WAN Abd Aziz (tengah) menunjukkan barang kes. FOTO Syahirah Abdullah
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Polis menahan lelaki berusia 35 tahun yang menyamar sebagai wanita sebelum mencuri satu dulang emas dianggarkan bernilai RM200,000 di kedai emas di Pekan Bukit Payong, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek yang berasal dari Negeri Sembilan ditahan kira-kira 11 malam semalam di rumah sewanya di Kampung Rhu Dua, di sini.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, suspek datang ke premis berkenaan dan menjual cincin kira-kira 4.30 petang pada 30 Disember lalu dipercayai untuk memerhatikan keadaan sekeliling.

"Hasil serbuan, polis menemui sebahagian barang kemas yang dipercayai diambil dari kedai emas berkenaan yang dianggarkan bernilai RM80,000.

"Kita percaya dapat mencari barangan kemas lain yang dipercayai sudah dijual dan disembunyikan suspek dalam masa terdekat.

"Siasatan mendapati suspek kini sedang menjalani sekatan mengikut Seksyen 6(3) Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 di Mukim Rusila bermula 2013 hingga 2017.

"Suspek yang positif dadah jenis morfin dan methamphetamine kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di IPD Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:47 PM