Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Tindakan sekumpulan lelaki membungkus semula minyak masak bersubsidi bagi mengaut keuntungan mudah terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu premis di Binjai Rendah, Bukit Payong, di sini, hari ini.

Dalam serbuan pada 11 pagi itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas 3,700 liter minyak masak bersubsidi dan dua lori dengan rampasan dianggarkan bernilai RM80,400.

KPDNHEP Terengganu turut menahan lima lelaki termasuk seorang penyelia berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan selepas risikan mendapati berlaku kegiatan pemindahan minyak masak bersubsidi daripada paket satu kilogram (kg) ke dalam botol industri 20kg tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Beliau berkata, empat lelaki tempatan yang disyaki pekerja sedang leka mengangkat tong minyak masak ke dalam dua lori ketika serbuan dilakukan.

"Kami turut menahan seorang lagi lelaki tempatan dipercayai sebagai penyelia dan ketika soal siasat, dia gagal mengemukakan sebarang lesen untuk berurusan dengan barang kawalan berjadual.

"Hasil pemeriksaan menemui lebih 100 tong minyak masak serta beberapa tong drum dengan 34 tong minyak masak atau 680 liter berada di dalam lori manakala 151 tong (3,020 liter) lagi berada di dalam premis berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, siasatan awal mendapati minyak masak itu dibeli dengan harga RM2.48 seliter dan dijual kepada peniaga dengan harga RM2.80 seliter.

Beliau berkata, mereka dipercayai melakukan kegiatan itu sejak Ogos lalu dengan menyewa premis itu sebelum membakar plastik serta kotak minyak dibeli itu bagi mengelak perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Berdasarkan jumlah rampasan ini, kami percaya bekalan minyak masak ini bukan hanya untuk dijual di sekitar daerah ini, sebaliknya peniaga di luar Marang.

"Kami sedang menyiasat dari mana mereka membeli minyak masak ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 2 juta," katanya.

SAHARUDDIN (dua dari kanan) memeriksa premis membungkus semula minyak masak bersubsidi dalam serbuan di Binjai Rendah, Bukit Payong, Marang, hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
SAHARUDDIN (dua dari kanan) memeriksa premis membungkus semula minyak masak bersubsidi dalam serbuan di Binjai Rendah, Bukit Payong, Marang, hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:38 PM