AFP

Brisbane: Roger Federer bertekad mempertahankan gelaran Kejohanan Antarabangsa Brisbane sekali gus menganggap ia sebagai batu loncatan menghadapi kejohanan musim ini.

Juara 17 grand slam dari Switzerland itu tiba di Australia semalam untuk menyertai kejohanan terbabit sebagai persediaan menghadapi Terbuka Australia di Melbourne bulan ini.

Federer, 34, yang menjuarai enam gelaran termasuk di Brisbane tahun lalu dan mara ke final Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat bakal berdepan pemain nombor lapan dunia Kei Nishikori, Milos Raonic (14) dan Grigor Dimitrov (28) pada kejohanan di Brisbane.

“Pemain seperti Nishikori, Raonic dan Dimitrov mahu menghampiri kelompok empat atau lima teratas dan bagi kami di kedudukan lebih atas, hanya mahu bertahan pada kedudukan kami sekarang,” kata Federer.

“Saya bermain dengan baik dalam tempoh satu setengah tahun sejak pulih daripada kecederaan belakang pada 2013.

“Ia memberi semangat dan kini saya lebih yakin berbanding setahun lalu.”

Federer menjuarai grand slam ke-17 di Wimbledon 2012 dan masih percaya mampu menjulang satu lagi gelaran utama.

Novak Djokovic mendominasi aksi tahun lalu dengan tiga gelaran grand slam dan biarpun masih menanti peluang terbaik untuk menjulang gelaran grand slam ke-18, Federer langsung tidak menunjukkan rasa bimbang.

“Saya begitu hampir, saya bermain dengan baik tetapi saya tidak rasa kecewa disebabkan perkara itu,” katanya.

“Saya masih gembira dengan cara saya bermain. Itu adalah tahun Novak, dia bermain dengan cemerlang tidak banyak yang boleh anda lakukan jika seseorang itu sungguh dominan dan mempunyai keyakinan tinggi.

“Malang sekali buat saya tetapi pada masa sama saya tidak bersimpati terhadap nasib sendiri.

“Saya menang begitu banyak sepanjang karier, saya rasa jika saya terus berusaha dengan gigih kejayaan akan menjelma. Jika tidak, tidak mengapa.”

Ini adalah kunjungan ketiga Federer ke Kejohanan Antarabangsa Brisbane dan dia bukan saja menang tahun lalu tetapi juga mencatat kemenangan ke-1,000 dalam karier sepanjang menyertai kejohanan ATP.

Federer mendapat bye untuk ke pusingan kedua musim ini di mana dia akan menentang sama ada pemain wildcard Australia Ben Mitchell atau pemain kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:11 AM