FEDERER dan Djokovic pilihan aksi final. FOTO/AGENSI
FEDERER dan Djokovic pilihan aksi final. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Roger Federer berhasrat memenangi kejuaraan ke-100 pada Pusingan Akhir ATP namun perlu mencari jalan untuk mengatasi Novak Djokovic, yang mahu menamatkan musim cemerlangnya dengan bergaya.

Dua pemain itu, yang mengumpul sejumlah 34 gelaran Grand Slam, menjadi tumpuan utama pada kejohanan penamat musim di Arena O2, London.

Namun kejohanan itu yang bermula esok, kekurangan elemen kuasa bintang tanpa pemain yang cedera, Rafael Nadal dan Juan Martin del Potro, kedua-duanya terpaksa menarik diri.

Bekas juara Andy Murray, yang masih memulihkan diri daripada kecederaan dan juara bertahan Grigor Dimitrov antara nama bintang yang turut tidak beraksi.

Kejohanan itu menampilkan lapan pemain yang mengumpul mata ranking terbanyak sepanjang musim dan diadakan secara round-robin, dengan empat pemain terbaik layak ke separuh akhir.

Federer dijangka muncul juara dalam Kumpulan Lleyton Hewitt, yang turut menampilkan Kevin Anderson, Dominic Thiem dan Kei Nishikori, manakala Djokovic menjadi pilihan untuk mengungguli Kumpulan Guga Kuerten, yang turut disertai Alexander Zverev, Marin Cilic dan John Isner.

Selepas musim 2017 menakjubkan yang menyaksikan pemain Switzerland itu merangkul tujuh kejuaraan, termasuk mahkota Grand Slam pada Terbuka Australia dan Wimbledon, Federer menyatakan musim 2018 tetap satu kejayaan di sebalik keputusan bercampur baur sejak akhir-akhir ini.

Pemain berusia 37 tahun itu sudah menang dengan rekod enam kejuaraan pada Pusingan Akhir ATP - termasuk dua di London - tetapi tidak menjulang trofi itu sejak 2011.

“Saya tidak terlalu memikirkan di mana saya akan menang kejuaraan ke-100 kerana yakin ia boleh dicapai juga satu hari nanti,” kata Federer, yang memenangi 99 kejuaraan dalam karier gemilangnya.

“Saya suka bermain pada kejohanan ini. Sering kali perasaannya sebegitu sejak kali pertama pada 2002.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 12:58 PM