PROTON Wira Aeroback adi wira Iron Man.
PROTON Wira Aeroback adi wira Iron Man.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Minat mendalam terhadap filem fiksyen, Avengers terutama watak Iron Man membuatkan seorang pemilik kereta nasional mengabadikan karakter adi wira itu pada keseluruhan jentera miliknya.

Kereta yang kerap menyertai pertandingan auto­show itu di gelar ‘King’ berikutan memenangi lebih 40 kejuaraan membabitkan kategori Proton Standard, Standard Terbuka, Proton Modifikasi dan Proton Ekstrem.

Bermula dari sudut luaran, seluruh badan jentera ditampal pelekat tempahan khas yang ditaja Zerocarbon Malaysia.

Pelekat itu memberi penampilan baru untuk menyesuaikan watak adi wira yang diminati pemiliknya, Mohd Faizal Muda, 31.

Ruangan enjin, jentera keluaran 1997 itu masih mengekalkan rangkaian kuasa asal bersesaran 1,300cc, namun dinaik taraf dengan menukar kotak gear Mitsubishi bagi memberikan lebih kuasa.

Setiap saluran getah pada ruangan berkenaan ditukar menggunakan jenama Sumco di mana lebih berkualiti dan tahan lasak.

Menjengah ruangan dalaman pula, pemilihan tema merah dan putih dilihat serasi dengan watak adi wira itu selain membaluti tempat duduk yang direka khas.

Malah, gabungan pelapik papan permukaan serta alas kaki turut ditempah khas yang mempunyai watak Iron Man.

Sebagai kereta yang kerap memasuki pertandingan auto­show, maka ia harus dilengkapi dengan sistem audio sempurna.

Justeru itu, Mohd Faizal melakukan proses ubah suai sistem audio dengan menambah pelbagai kelengkapan audio berkualiti tinggi.

Dua pemain cakera utama dari Q Mobile dihubungkan terus kepada dua monoblog jenama sama berkapasti 1,200 watt dan amplifier Rock Fox 1,000 watt.

Kemudian kuasa itu ditala kepada woofer berkualiti tinggi Q Mobile 2,000 watt bersaiz 12 inci serta 10 speaker ‘mid’ Anaconda 350 watt untuk menghasilkan bunyi yang bertenaga.

Ia diceriakan 24 skrin pelbagai saiz yang diselit­kan segenap sudut jentera itu termasuk dalam perumah lampu hadapan.

Mohd Faizal mengakui tidak menyesal biarpun terpaksa melabur hampir RM25,000 untuk proses modifikasi itu, tetapi berbangga kerana memberi tuah dalam pertandingan autoshow.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:01 AM