PROTON Persona milik seorang warga emas.
PROTON Persona milik seorang warga emas.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Jika dilihat pada imej modifikasi Proton Persona bertemakan jenama M7 dalam ruangan ini, sudah pasti membayangkan pemiliknya seorang pemuda.

Namun ketika cuba menemuramahnya, penulis terkejut melihat pemilik itu sebenarnya datuk mempunyai 24 cucu.

Warga emas yang dimaksudkan ialah Haship Raja Putih, 65, seorang pesara tentera dan mula menghiasi kenderaan itu selepas mendaftar menjadi ahli kelab kereta kira-kira lima tahun lalu membabitkan Geng Autoshow Perak (GAP), Proton Persona Owner Club (PPOC) dan M7.

Bermula dari situlah, pemiliknya yang banyak menerima tunjuk ajar daripada rakan kelab lain mula mengorak langkah menghiasi kenderaannya.

Bahagian luaran menerima sentuhan pelekat barangan kereta berprestasi serta air minuman bertenaga jenama M7 pada keseluruhan badan kereta Persona keluaran 2012 itu.

Bagi menyerlahkan lagi keterampilannya, rim jenama Vosyen bersaiz 17 inci dipilih untuk melengkapkan lagi imej jentera berkenaan.

Bahagian dalaman pula, tidak banyak yang diubah suai cuma membalut kerusi dengan material PVC serta menukar warna papan pemuka bagi menerbitkan padanan warna yang bersesuaian dengan tema pilihan.

Bagi sistem audio, pemilik memilih pemain cakera jenama X-Spider yang terus dihubungkan kepada dua amplifier X-Spider 1,600 watt 4 saluran dan X-Spider 1,000 watt 2 saluran.

Memberikan kepuasan bunyi maksimum, dua woofer bersaiz 12 inci jenama yang sama dan berkuasa 1,000 watt dipasang pada ruangan but keretanya.

Tidak cukup dengan itu, empat buah mid bass dan dua twitter dari jenama yang sama dipasang bagi memberikan kepuasan bunyi ketika dipertandingkan.

Maka, tidak hairanlah kereta milik ‘Ayah’ ini kerap mencuri tumpuan pengadil dan menaiki podium dalam hampir semua pertandingan disertai.

Haship berkata, kejayaan terbesar yang dimenanginya di Taiping, Perak, tahun lalu apabila keretanya dipilih sebagai ‘Best Of The Best’ sekali gus mengalahkan hampir 100 kenderaan lain.

Ditanya mengenai sokongan keluarga, beliau memaklumkan bahawa tiada halangan daripada isteri serta tujuh anaknya, malah mendapat sokongan penuh biarpun sudah berhabis RM25,000 untuk menghias kereta kesayangannya itu.

INFO

MODEL: Proton Persona keluaran 2012

MODIFIKASI:

- Pelekat badan M7

- Rim Vosyen 17 inci

- Pemain audio X-Spider

- Amplifier X-Spider 1,600 wat 4 saluran

- Amplifier X-Spider 1,000 wat 2 saluran

- Empat mid bass X-Spider

- Dua twiter X-Spider

KEJAYAAN TERBESAR: Dipilih kereta ‘Best of the best Taiping 2014’

KELAB: PPOC, GAP DAN M7

KOS MODIFIKASI: RM 25,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:01 AM