PERODUA Kancil dihiasi watak manga Jepun.
PERODUA Kancil dihiasi watak manga Jepun.
Oleh Shaiful Ahmad Pauzi


Kebiasaannya kereta modifikasi hanya menggunakan tenaga pakar untuk pengubahsuaian, namun lain pula bagi Perodua Kancil ruangan kali ini apabila hampir keseluruhan hasil kerja seni itu dilakukan secara sukarela oleh pelajar vokasional di Lenggong, Perak.

Lebih membanggakan apabila pengubahsuaian yang mereka lakukan terhadap Perodua Kancil keluaran 2003 milik guru mereka, berjaya mengetengahkan nama ‘Angel Beats’.

Malah, ia turut diberi gelaran ‘King’ oleh ahli kelab setempat kerana kekerapan memenangi pertandingan autoshow yang disertai.

Perodua Kancil kapasiti 850cc itu menerima sentuhan watak kartun animasi Jepun iaitu Angel Beats Mira sekali gus kerap mencuri tumpuan peminat wanita yang menggemari watak berkenaan,

Selain menampal pelekat watak animasi itu pada keseluruhan badan kenderaan, pemiliknya Asmadi Faizal Mohd Hashim, 36, turut menukar enjin asal kepada Daihatsu Mira L5 bagi memberikan lebih kuasa pecutan.

Bagi kelihatan seperti Daihatsu Mira L5, keseluruhan kit badan termasuk bampar hadapan dan belakang ditukar kepada model berkenaan.

Malah, pemilik juga bertindak menukar bumbung asal kepada Mini Cooper S yang dibeli dengan harga lebih RM4,000 supaya ia tampak lebih unik.

Ruangan kokpit pula tidak banyak perubahan yang dilakukan kecuali papan permuka ditempah khas dengan gabungan warna biru serta beberapa aksesori tambahan bagi menaikkan lagi imejnya bertemakan watak animasi itu.

Bagi sistem audio pula, jenama Convex menjadi pilihan yang dihubungkan kepada dua buah amplifier World Tech 2,000 watt empat saluran dan RPM 2,000 watt dua saluran.

Kemudiannya dua buah woofer bersaiz 12 inci dari jenama Dynamic dengan kapasiti 1,500 watt setiap satu, memberikan lontaran suara yang mantap ketika ia beraksi.

Ditambah pula dengan lapan mid bass yang berkekuatan 500 watt yang ditempah khas dari Thailand dipasang pada but belakang untuk memberikan kualiti suara yang padat.

Sementara itu, Asmadi Faizal berkata, setiap kali jenteranya dipertandingkan, dia pasti membawa pulang hadiah dan menganggap pelaburan RM20,000 digunakan untuk mengubah suai jenteranya sangat berbaloi.

Pemilik yang aktif menyertai pertandingan autoshow sejak tahun 2009, kini mampu tersenyum apabila kerap kali mengungguli pertandingan Perodua Standard, Penampilan Mira, JDM Terbuka dan Perodua Ubahsuai.

INFO

- MODEL: Perodua Kancil.

- ENJIN: Daihatsu Mira L5.

- KIT BADAN: Daihatsu Mira L5.

- BUMBUNG: Mini Cooper S.

- PEMAIN AUDIO: Convex.

- AMPLIFIER: World Tech 2,000 watt empat saluran dan RPM 2,000 watt dua saluran.

- WOOFER: Dua unit Dynamic 1,500 watt 12 inci.

- MID BASS: Lapan unit tempahan khas dari Thailand.

- KOS: RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:01 AM