PROTON Saga yang diubah suai.
PROTON Saga yang diubah suai.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Sebut sahaja kereta Proton Saga, dalam dunia permotoran autoshow, kereta buatan nasional ini meraih populariti tinggi dan sangat dikenali.

Ini kerana model ini menjadi pilihan penggemar modifikasi dan terbukti menerusi model Proton Saga keluaran 1990 milik Muhamad Arshad, 58, yang kerap mencuri tumpuan umum.

Malah ada yang mengatakan pemiliknya mungkin peminat tegar kumpulan lawak terbabit sehingga sanggup mengabadikan nama itu bersaiz besar pada kenderaannya.

Namun selepas membuka pintunya, sebuah ‘Mini Bar’ yang lengkap dengan cawan serta minuman menghiasi ruangan hadapan dan belakang kereta terbabit untuk memenuhi konsep VVIP supaya kelihatan mewah serta bergaya.

Selain itu, seluruh tempat duduk hadapan dan belakang jentera dibaluti dengan material PVC campuran kulit berwarna jingga.

Bagi menambahkan keceriaan, butiran manik yang berkilauan memenuhi segenap sudut papan permukaan hadapan dan lampu LED berwarna-warni turut menghiasi segenap ruangan berkenaan.

Bukan itu sahaja, kereta yang masih mengekalkan enjin asal berkapasiti 1.5 liter itu turut diwarnakan dengan semburan angin.

Ia tampil lebih garang apabila spoiler daripada Mitsubishi Evo VII dipasang serta menggunakan sistem peredam ekzos setinggi satu meter ‘mencacak’ kelangit untuk memberikan kelainan.

Selain itu, lukisan burung helang dan ukiran batik pada but hadapan dilukis menggunakan pen marker oleh anak muda tempatan yang memiliki keistimewaan tersendiri, selain dipadankan pintu gunting supaya tampak lebih menarik ketika beraksi di pertandingan auto­show.

Bagi memenuhi syarat pertandingan autoshow kategori esktrem, sesebuah kereta perlu mempunyai sistem audio yang lengkap.

Justeru, Muhamad yang juga Ahli Jawatankuasa Kelab Proton Saga Alor Pongsu (PSAC) dan Taiping Audio Group (TAG) merombak ruang but belakang sebelum dipenuhi dengan set audio berkualiti.

Menaruh kepercayaan kepada pemain cakera jenama Sony, dia turut menggunakan dua buah amplifier Audio Band empat saluran dan Audio Bos dua saluran yang masing-masing berkekuatan 1,000 watt.

Ia kemudian ditala pada dua buah woofer bersaiz 12 inci jenama Boom serta empat mid dan tiga twiter.

Hasil kekemasan itu membuatkan kenderaan berkenaan kerap memenangi pertandingan yang disertai terutama dalam kategori Proton Esktrem, Terbuka VVIP dan Terbuka Esktrem.

Walaupun masih baru dan tidak sampai dua tahun berkecimpung dalam dunia permotoran, kereta itu memiliki lebih 50 piala kemenangan selepas membelanjakan lebih RM 15,000 untuk melakukan modifikasi itu.

INFO

Proton Saga Keluaran 1990

- Enjin: 1,500 cc transmisi manual.

- Modifikasi:

* But hadapan dilukis menggunakan tangan.

* Pintu gunting.

* Hiasan dalaman konsep VVIP.

* Kusyen dibaluti material PVC campuran kulit.

* Pemain cakera Sony.

* Amplifier Audio Band empat saluran 1,000 watt.

* Amplifier Audio Boss Dua Saluran 1,000 watt.

* Dua Woofer 12 inci jenama Boom.

* Kos modifikasi RM15,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:00 AM