BERGAYA dengan cat semburan angin.
BERGAYA dengan cat semburan angin.

Shaiful Shahrin Ahmad

Pengaruh kuat terhadap permainan video serta meminati filem Mortal Kombat memberikan idea unik kepada satu keluarga dari Kulim, Kedah mengubah suai kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan gaya tersendiri.

Uniknya, Proton Exora bersesaran 1,600cc keluaran tahun 2012, milik Md Fazli Md Salleh, 37, diperkuatkan dengan watak Sub-Zero daripada permainan komputer Play Station 2 (PS2) dan filem animasi Mortal Kombat yang boleh dilihat menerusi lukisan semburan pada bahagian but hadapan serta ruangan enjin jentera berkenaan.

Watak terbabit diabadikan pada jentera berkenaan berikutan anak dan isterinya meminati filem atau permainan video Mortal Kombat terutama watak Sub-Zero.

Bermula 2013, Md Fazli mula mengubah suai jentera berkenaan mengikut watak diminatinya dengan menggunakan cat semburan ‘disulam’ pelekat badan hasil ciptaan tersendiri bagi bersesuaian karakter yang dipilih.

Dilabel sebagai ‘kaki game’, kenderaan itu dilengkapi alat permainan Sony PS2 bagi memberikan ‘markah lebih’ sekiranya memasuki pertandingan autoshow.

Permainan itu kemudiannya dihubungkan dengan sistem audio berkualiti tinggi pada ruangan dalaman dan but belakang bagi memberi impak bunyi mengagumkan.

Menaruh kepercayaan kepada jenama Xtrons, pemiliknya memilih pemain audio terbabit yang lengkap dengan skrin bersaiz tujuh inci sebagai pemain cakera utama jentera berkenaan.

Ia dihubungkan kepada amplifier Clarion ADP 600 enam hala berkekuatan 2,000 watt yang kemudiannya dihalakan pada dua woofer 10 inci Pioneer TSSWX 2502.

Jentera itu turut dilengkapi dua pembesar suara ber­saiz enam inci jenama Alpine SPS-610C berkekuatan 600 watt setiap satu.

Tidak itu sahaja, permainan Sony PS2 yang dipasang pada jentera turut dihubungkan pada dua monitor skrin bersaiz 10 inci dan LCD 24 inci.

Di ruang but belakang pula, pemain cakera utama sekali lagi dihubungkan kepada monoblok Kickers berkekuatan 1,000 watt empat hala yang kemudiannya ditalakan kepada subwoofer Ameron 12 inci berkapasiti 1,500 watt.

Selain itu, empat pembesar suara Stellar bersaiz 6.5 inci dengan kekuatan 500 watt turut ditambah bagi memberikan bunyi lebih mantap.

Menariknya bagi ruangan but belakang, perumah yang memuatkan sistem audio turut menerima cat semburan angin supaya tampak unik.

Sementara itu, prestasi enjin ditingkatkan dengan menambah pelbagai komponen termasuk ‘intercooler’ dari jenama SARD yang dihubungkan melalui paip tahan karat berkualiti tinggi.

Sistem ekzos jentera menerima sentuhan binaan khas dengan menggunakan keluli tahan karat serta dilengkapi peredam Jasma Racing.

Bagi kawalan lebih stabil, jentera itu menggunakan penyerap hentak boleh laras BC VI.

Modifikasi bagi jentera yang digelar Sub-Zero menelan belanja lebih RM30,000 itu, tidak boleh dipandang rendah berikutan sudah memiliki lebih 30 trofi kejuaraan sepanjang dua tahun pembabitannya dalam dunia autoshow.

INFO

PROTON EXORA 1.6 CFE TURBO

- AUDIO DALAMAN

• Sony PS@?

• Pemain cakera Xtrons

• Apmpifier Clarion ADP 600 (6 hala)

• Dua woofer 10 inci Pionner TSSWX2502

• Dua Pembesar suara Alpine SPS-610C 6 inci

• LCD Skrin 24 inci

- AUDIO BELAKANG

• Monoblok Kicker empat hala 1,000 watt

• Dua Subwoofer Ameron 12 inci 1,500 watt

• Empat pembesar suara Stellar 6.5 inci

- SUSPENSI

• Penyerap hentak BC VI A

- EKZOS

• Peredam Jasma Racing?

- KOS MODIFIKASI

• RM30,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:00 AM