PINTU gunting memberi impak menarik kepada imej jentera ini.
PINTU gunting memberi impak menarik kepada imej jentera ini.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Minat mendalam terhadap perlumbaan MotoGP dengan menjadikan pelumba Valentino Rossi sebagai idola, mencetus fenomena baru buat seorang mekanik untuk menghiasi Proton Saga BLM menggunakan tema ‘The Doctor’ dan nombor keramat ‘46’.

Pemiliknya Nasir Mat Zain, 33, yang sebelum ini gila mengubah suai motosikal, kini berubah arah apabila mula melakukan modifikasi kereta selepas memilikinya beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, fanatik terhadap pelumba dari Itali itu masih menjadi konsep dan dikekalkan apabila seluruh kereta dihias pelekat jenama serta penaja penunggang terbabit.

Kereta keluaran tahun 2007 yang masih menggunakan enjin asal, diceriakan dengan hijau muda malah diberikan penampilan istimewa apabila dilengkapi kit badan khas pada bahagian luarannya.

Bahagian ruangan tayar iaitu dapra pula ia dipasang dengan kit tayar bersaiz lebar bagi menempatkan rim 18 inci buatan Jepun berjenama Ice.

Tampil lebih garang apabila untuk memasuki ruang kabinnya ia dilengkapi pintu gunting, selain ruangan enjin tampak kemas dan bersih. Ruang itu lebih berkilat apabila dipenuhi aksesori yang dibaluti krom.

Ketinggian jentera itu juga boleh dilaras secara manual apabila ia menggunakan suspensi angin buatan Jepun sekali gus tampak unik apabila direndahkan pada tahap maksimum.

Bagi sistem audio, pemiliknya memberi kepercayaan penuh pada pemain cakera Pioneer, dihubungkan pada dua power amplifier Swiss Line yang masing-masing berkekuatan 1,500 watt.

Bunyi yang padat dihamburkan daripada dua woofer bersaiz 12 inci berkuasa 1,000 watt dipasang pada but belakang jentera berkenaan.

Memantapkan lagi bunyinya, enam sub woofer dari jenama sama bersaiz enam inci dipasang yang mana empat daripadanya ditempatkan pada bahagian atas but.

Enam skrin LCD bersaiz 3.5 inci turut dipasang di bahagian but belakang, manakala dua lagi ditempatkan di pintu belakang.

Bagi kos keseluruhan mengubah suai jentera idaman itu, pemilik mengakui menghabiskan hampir RM60,000 dan ternyata berbaloi apabila kerap mencuri tumpuan juri dalam pertandingan auto­show.

Antara kemenangan terbaru adalah tempat pertama kategori Proton Extreme di Melaka pada Jun 2015 dan The Best Sticker di Johor, Julai lalu.

INFO

- Model: Proton Saga BLM

- Enjin: Asal 1,300 cc

- Modifikasi

* Kit badan tempahan khas

* Kit tayar ditempah khas

* Rim Ice 18 inci

* Suspensi angin dengan kawalan automatik

* Pintu gunting

- Audio

* Pemain audio Pioneer

* Dua amplifier Swiss Line 2 dan 4 saluran 1,500 watt

* Dua woofer 12 inci Swiss Line

* Enam sub woofer enam inci

* Enam skrin LCD

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:00 AM