PROTON Exora konsep VIP.
PROTON Exora konsep VIP.
Oleh Shaiful Ahmad Pauzi


Kenderaan pelbagai guna (MPV) menerusi Proton Exora yang menerima ubah suai berkonsepkan gaya VIP menjadi pilihan untuk menghiasi ruangan Modifikasi minggu ini.

Boleh dikatakan, jarang melihat model MPV buatan tempatan ini yang menjadi kegilaan masyarakat setempat untuk melakukan ubah suai terhadap kenderaan kerana ia dianggap sebuah kereta ‘keluarga’.

Namun ia bukan alasan untuk tidak mengubah suai MPV itu apabila Zamri Azman Ishak 48, melakukan sesuatu yang baru untuk mereka semula kenderaannya.

Malah, ia menjadi pilihan ruangan ini untuk mengetengahkan kenderaan tempatan yang digubah dengan menerima sentuhan bercirikan kemewahan.

Bahagian luarannya tidak banyak yang ditonjolkan kecuali penambahan kit badan keseluruhan pada kenderaan itu.

Padanan tayar jenama Falken dengan rim Gosen bersaiz 17 inci membuatkan ia tampil kemas sebagai kenderaan khas untuk orang kenamaan.

Bahagian enjin pula, pemilik mewarnakan keseluruhan ruangan itu dengan beberapa kombinasi warna menarik, selain menukar beberapa aksesori dalaman bagi memantapkannya ketika menyertai pertandingan autoshow.

Tidak seperti kenderaan VIP lain yang kebiasaan bahagian dalamannya berwarna hitam, ia tampil berbeza apabila keseluruhan kusyennya ditukar kepada jenis ‘Koni’.

Padanan warna coklat lembut dan hitam serta beberapa aksesori tambahan dari jenama terkenal DAD menaikkan lagi imejnya sebagai MPV mewah.

Bagi sistem bunyi, pemilik memilih pemain cakera jenama Pioneer yang kemudian dihubung kepada sebuah amplifier berkekuatan 3,000 watt enam saluran Mohawk serta sebuah Monoblok jenama X-Spider 2,000 watt.

Selain itu, dua woofer bersaiz 12 inci dari jenama X-Spider 1,000 watt ditempatkan di but belakang bagi memberikan kualiti suara yang sedap didengar ketika bertanding.

Bukan itu sahaja, empat pembesar suara mid bass bersaiz 6.5 inci dari jenama X-Spider, serta dua buah twiter dari jenama Mohawk turut ditempatkan pada but belakang bagi terus memberikan kualiti audio yang tinggi.

Justeru, boleh dikatakan MPV berkenaan kerap menjadi tumpuan peminat kereta modifikasi di mana selain konsep VIP yang ditonjol, ia nampak kemas dan berbeza de­ngan kenderaan VIP sedia ada.

Tidak hairan jentera itu tidak akan mengecewakan pemiliknya setiap kali menyertai pertandingan audio kategori Dua Woofer, Open MPV serta VIP Konsep.

Antara kejayaan dicapai jentera itu ialah memenangi kategori ‘concept car’ di Auto Show Merdeka di Manjung, Perak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:01 AM