WATAK Thor menjadi pilihan ubah suai jentera ini.
WATAK Thor menjadi pilihan ubah suai jentera ini.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Biarpun hanya menggunakan kereta buatan nasional, Proton Wira dalam ruangan ini disanjung peminat dan sangat ditakuti seterunya apabila kerap menjuarai pertandingan audio kategori Proton di utara tanah air.

Kereta ini yang lebih dikenali dengan namanya dalam watak fiksyen iaitu Thor memenangi lebih 100 pertandingan, membuatkan pemiliknya selaku Pengerusi Geng Autoshow Perak (GAP), Ahmad Fuad Harun sangat dikenali, terutama dalam kalangan penggemar kereta modifikasi.

Terkenal sebagai kereta yang memiliki sistem bunyi hebat, pemiliknya memilih pemain cakera padat (DVD) dari jenama Pioneer dan dihubungkan kepada dua power amplifier 4 saluran bagi menjanakan enam buah mid bass serta empat twiter DSL.

Papan permukaan depan diubah suai bagi menempatkan dua skrin LCD bersaiz tujuh inci, manakala dua lagi diletakkan pada setiap pintu belakang kenderaannya.

Bonet belakang mempunyai ‘identiti’ dengan pemain cakera kedua dari Pioneer dan dihubung terus kepada dua ‘free’ amplifier jenama Caliber serta Adam Digital.

Kedua-dua komponen itu menyalurkan kuasa berkapasiti 1000 watt sebelum ditalakan kepada lapan mid bass dan horn twiter.

Bagi mendapatkan bunyi padat, empat buah Subwoofer 12 inci Prospec dipasang dan dijanakan Monoblock Mohawk yang mempunyai kekuatan 2000 watt.

Sebuah LCD TV berukuran 19 inci Toshiba serta dua LCD tujuh inci, turut dipasang pada bonet belakang bagi memberi sedikit keunikan pada kenderaan itu.

Sistem pemasangan dan pendawaian sistem audio itu dilakukan sendiri oleh pemilik–nya biarpun beliau mempunyai perniagaan sendiri.

Bagi menarik perhatian, pemiliknya yang menggemari filem Avenger melaburkan RM3,000 kepada Zaf Design bagi mengecat dengan semburan angin bagi watak Thor pada keseluruhan badan jenteranya.

Enjinnya pula ditingkatkan kepada menggunakan rang–kaian kuasa Mitsubishi 4G91 Sohc bagi meningkatkan ­prestasinya.

Menurut Ahmad Fuad, demi minat pada kereta dan kualiti suara, beliau tidak kisah menghabiskan lebih RM20,000 bagi memastikan kenderaannya sentiasa mendapat tempat di mata peminat dunia modifikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 1:23 PM