Lokasi kejadian dua beradik ditemui lemas. FOTO ihsan bomba
Lokasi kejadian dua beradik ditemui lemas. FOTO ihsan bomba
Oleh Junaidi Ladjana

Papar: Dua beradik lelaki masing-masing berusia 10 dan 12 tahun ditemui lemas di kolam terbiar di Kampung Simpudu, dekat sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Davis Ching Meng ditemui pada 12.40 tengah hari dan abangnya Rony Chiu Meng, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui setengah jam kemudian oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar.

Mereka dipercayai mandi di kolam berkenaan sebelum lemas.

Ketua BBP Papar Dunstan Peter berkata, sebaik menerima maklumat daripada ibu kedua-dua mangsa, sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 12.50 tengah hari, mangsa pertama sudah ditemui pekerja kebun berhampiran lokasi kejadian dan operasi menyelamat terus dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa.

"Selepas setengah jam operasi mencari dilakukan, mangsa kedua ditemui," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans Hospital Papar dan bomba untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun, kita menerima maklumat daripada pihak hospital bahawa kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 4:01 PM