Junaidi Ladjana


DUA lelaki bersaudara dikhuatiri lemas ketika mandi di muara pantai Bundusan, Pengalat Besar, di Papar, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, mangsa dipercayai berusia 12 tahun dan seorang lagi berusia 23 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.23 petang.

Beliau berkata, susulan itu, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dikerah ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar.

"Sebaik tiba, bomba dimaklumkan bahawa dua lelaki lemas ketika mandi di muara berkenaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di tepi muara berkenaan.

"Sehingga kini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui," katanya, hari ini.

Menurutnya, operasi masih diteruskan sehingga mendapat arahan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 10:09 PM