Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA rakan ditemui lemas ketika mandi di Sungai Lubuk Ular, Kampung Juang, Simpang Pulai, 1.30 tengah hari, hari ini.

Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Izani Shaiful Anuar, 18, dan Fadzlin Ilyana Fauzi Amir, 15.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dipercayai mandi di kawasan sungai berkenaan sebelum Fadzlin dipercayai lemas menyebabkan Muhammad Izani cuba menyelamatkannya namun gagal.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohammad Yusof Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan 1.54 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dan menemui mayat remaja perempuan di dasar sungai sebelum mayat remaja lelaki ditemui tiga meter dari mayat rakannya itu.

"Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Operasi ditamatkan 4.12 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 8:11 PM