KERATAN Metro Ahad semalam.
KERATAN Metro Ahad semalam.
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dijangka akan mengadakan pertemuan secara tertutup dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini untuk mendapatkan penjelasan selain bukti susulan isu borang C-06 yang didakwa menjadi punca kepada hukuman berat yang diterima oleh PBNP daripada FIFA.

PBNP difahamkan tidak berpuas hati dengan kenyataan terbaru Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin Jumaat lalu, yang mendakwa PBNP sengaja mahu menyalahkan FAM menerusi kelewatan penyerahan borang itu kepada FIFA.

Ia sekali gus menyaksikan FIFA mengeluarkan arahan supaya pasukan Pahang dikenakan potongan enam mata dalam saingan Liga Super, selain perlu membayar pampasan kepada bekas pemain importnya, Mohamed Borji membabitkan AS$125,000 (RM526,000).

“Esok (hari ini) wakil PBNP akan ke Kuala Lumpur bagi mengadakan pertemuan dengan FAM dan mendapatkan bukti mengenai perkara itu.

“Jelas sekali kenyataan beliau (Hamidin) tidak berasas dan kami akan dapat selesaikan segala hal berbangkit supaya ia tidak berlarutan lagi,” kata sumber rapat itu semalam.

Jumaat lalu, FAM tampil menjelaskan ‘kekeliruan’ ekoran kenyataan PBNP yang kecewa kerana dihukum atas tuduhan tidak membayar pampasan dan tunggakan gaji bekas pemainnya itu.

Jelas Hamidin, Ketua Pegawai Eksekutif PBNP, Fahrizal Hassan asyik menyalahkan badan induk bola sepak negara.

Katanya, sebagai Setiausaha Agung FAM, beliau menelefon Setiausaha Kehormat PBNP, Fuzzeimi Ibrahim beberapa kali supaya persatuan itu mengambil serius amaran diberi FIFA.

“PBNP kemudian meminta FAM memajukan surat kepada FIFA pada 8 September 2015 untuk memohon masa lebih panjang bagi membuat pembayaran berkenaan atas alasan wang sedia ada perlu digunakan untuk mengharungi baki musim 2015 serta persiapan menghadapi musim 2016,” katanya.

Berdasarkan kronologi itu, Hamidin berkata, PBNP jelas mengetahui hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka jika enggan mengikut arahan ditetapkan FIFA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:12 AM