KERATAN muka belakang Harian Metro 26 November 2015.
KERATAN muka belakang Harian Metro 26 November 2015.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terkejut dengan jumlah pampasan kontrak bekas pemain import dari Maghribi Mohamed Borji membabitkan AS$125,000 (RM526,000).

Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC Sdn Bhd Fahrizal Hassan berkata, lebih mengejutkan apabila Pahang diancam denda lebih berat termasuk tersingkir ke Liga Perdana jika gagal membayar pampasan kontrak terbabit.

Katanya, jumlah yang perlu dijelaskan kepada Borji terlalu besar sedangkan persetujuan untuk menamatkan kontrak sudah dilakukan kedua-dua pihak pada 2013.

“Apa yang boleh saya katakan bukti penamatan iaitu borang C06 sudah diserahkan dan penamatan kontrak terbabit dipersetujui kedua-dua pihak. Oleh itu tidak timbul PBNP perlu membayar pampasan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Arena Metro kelmarin melaporkan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Lazarus Jansen Xavier berkata, Pahang diancam denda lebih berat termasuk tersingkir ke saingan lebih rendah jika gagal menjelaskan pampasan kontrak Borji.

Katanya, hukuman itu boleh dikenakan jika PBNP terus ingkar dengan arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyelesaikan segera kes tuntutan berkenaan.

“PBNP tidak boleh membuat rayuan kerana perkara ini sudah dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka tidak mengendahkan arahan Jawatankuasa DRC FIFA (Dispute Resolution Chamber) untuk membuat bayaran pada 30 Oktober 2014.

“Jawatankuasa Tatatertib FIFA kemudian sudah menghantar surat peringatan kepada PBNP pada 10 Ogos lalu untuk segera menyelesaikan kes ini tapi mereka masih melengah-lengahkan arahan itu sehinggalah FIFA mengarahkan FAM memotong enam mata Pahang dalam Liga Super.

“FIFA boleh mengarahkan FAM untuk menyingkirkan Pahang dari Liga Super selepas ini jika mereka masih gagal melunaskan bayaran dalam tempoh terdekat,” katanya.

Selasa lalu, FAM memotong enam mata yang diperoleh Pahang dalam aksi Liga Super musim ini seperti diarahkan FIFA sekali gus menyaksikan Pahang turun ke tangga ketiga.

Kesannya, Pahang gagal beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan dengan Selangor mengambil tempat mereka selepas diisytihar naib juara Liga Super bagi musim 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:01 AM