WHAM membuat kunjungan hormat kepada Jins.
WHAM membuat kunjungan hormat kepada Jins.

Sejak Tan Sri Jins Shamsuddin, 80, disahkan mengalami Alzheimer pada Februari 2011, pelbagai dugaan dilalui keluarganya.

Dalam keadaan dia tidak mengenali orang lain, isterinya Puan Sri Halijah Abdullah dan dua anak, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim, sabar menjaga dan merawatnya tetapi waktu sama kesabaran mereka sering diuji.

Februari lalu beberapa laman blog mendedahkan foto terkini Jins yang kelihatan begitu uzur dan kurus hingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Pada April pula, Halijah dan anak-anak sekali lagi menjadi tumpuan apabila Sazrin Iskandar atau Hang Tuah, 41, tampil dalam satu sidang media mendakwa dia anak kandung seniman veteran itu, hasil perkahwinan keduanya dengan Jamilah Shukor pada 1973.

Terbaru pada 17 Disember lalu, tersebar berita kematian Jins hingga mengejutkan ramai pihak.

Ketika itu Halijah membawa Jins pulang ke kampungnya di Temerloh, Pahang. Mereka juga baru pulang dari bercuti selama seminggu di Seoul, Korea.

Sudah tentu mereka sekeluarga terkejut apabila ditanya perkara itu, sedangkan hakikat sebenar, Jins masih bernafas dan sihat.

Bukan perkara baru buat mereka kerana ini kali ketiga berita palsu itu disebarkan. Segala dugaan itu harus dihadapi mereka sekeluarga sedang­kan empunya diri tidak mampu berkata apa-apa.

Berkunjung ke rumah pengarah Bukit Kepong itu di Kampung Pasir, Hulu Klang pada 18 Disember lalu bersama rombongan Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), kami disambut mesra Halijah.

Anak bongsunya, Nadim juga tiba dari tempat kerjanya begitu juga Jebat bersama anaknya, Almiera Alyanna, 4, hasil perkahwinannya dengan Azzwin Adzman.

Pada hari itu, rumah mereka meriah dikunjungi tetamu. Selain WHAM, Persatuan Wanita Perak dan juga Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ghani turut menziarah begitu juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKP) Kampung Pasir, Mohd Razi Ayob.

Halijah kesal dengan apa yang berlaku tetapi tiada apa yang mampu mereka lakukan selain bersabar dan reda dengan segala ujian.

Bertahun-tahun Jins membina nama dengan reputasi baik tetapi akhirnya di penghujung usia, begini jadinya.

Bagi Jebat dan Nadim, walaupun ayahnya tidak mampu berbuat apa-apa, mereka bersyukur kerana dia seorang yang teliti. Segala surat-surat penting akan disimpan rapi begitu juga segala resit, kad dan macam-macam lagi yang disimpannya sejak dulu.

Kini mereka menyimpan satu fail khas memuatkan surat-surat penting yang mungkin berguna dan boleh dijadikan bukti jika berlaku perkara berbangkit di kemudian hari.

Segala yang berlaku juga ada hikmahnya. Jika selama ini Halijah dan anak sabar menjaga Jins, apabila timbul berita seperti ini, ada yang datang menziarah dan bertanya khabar.

Kata Halijah, suaminya sihat dan tiada masalah kesihatan tetapi ingatannya makin merosot. Beliau juga tidak kenal orang lain.

“Apabila ditanya mana isteri, katanya, dia tidak pernah berkahwin. Begitu juga apabila ditanya anak-anak, katanya, dia tidak pernah berkahwin bagaimana ada anak.

“Setiap kali saya siapkan, mandikan, pakaikan baju serta sikat dan bedakkan mukanya, dia pasti akan ucap terima kasih. Komunikasi memang tiada, saya pandang dia, dia pandang saya.

“Tidak tahulah dia anggap saya ini siapa dan saya sudah biasa dengan situasi itu. Apa yang saya mampu lakukan, menjaganya sebaik mungkin,” katanya.

Setiap pagi Halijah membawa suaminya berjalan-jalan di luar rumah kemudian Jins berehat atau tidur sementara dia membuat kerja rumah atau keluar membeli barang. Kalau di rumah, Jins lebih suka pakai singlet kerana tidak selesa apabila lengan baju kena pada kulitnya.

Walaupun tidak kenal orang lain, apabila ditanya siapa namanya, bekas Ahli Dewan Negara itu menjawab, “Jins Shamsudin...Tan Sri Jins Shamsudin.” Tidak banyak kata-kata yang keluar dari mulutnya, hanya angguk dan senyum.

Agak mengejutkan, apabila diperkenalkan diri dari Metro Ahad dan dulu sering menemubualnya, Jins mengucapkan terima kasih. Katanya, dia sangat menghargainya.

Hero filem Melayu yang popular dengan gelaran James Bond Malaya itu mampu berjalan tetapi perlahan begitu juga makan, mampu menyuap nasi menggunakan sudu.

Ini dapat dilihat ketika bersarapan bersama beliau, begitu berselera menjamah nasi lemak yang dibawa. Halijah di sisi menggaulkan nasi dengan sambal dan telor kemudian akan dijamahnya perlahan-lahan.

Jika dulu Jins pengarah hebat, kini dia menanti arahan. Jika disuruh duduk, dia duduk. Di suruh makan, dia makan. Begitulah dirinya kini. Menurut doktor, otaknya kini hanya mampu berfungsi seperti kanak-kanak berusia enam tahun. Ibaratnya dia budak baik yang mendengar kata.

Kata Halijah, doktor meminta dia dan anak-anak supaya memantau percakapannya supaya tidak merapu bagi mengelakkan nyanyuk.

Nadim juga membawa ayahnya berjalan-jalan. Baru-baru ini memahami kepayahan ibunya menjaga ayahnya setiap hari, Nadim membawa mereka makan angin ke Seoul, Korea. Selama seminggu di Seoul, mereka tiga beranak menikmati keindahan bumi Korea menaiki kereta api.

Kata Nadim, ayahnya ikut saja dan tidak mengadu penat. Ketika hendak pulang, ayahnya mengatakan cuaca di luar negara sejuk tidak sama di negara sendiri.

Semoga keluarganya terus sabar dan tabah menjalani ujian ini. Bagi kita semua, sama-samalah mendoakan beliau panjang umur dan sihat.

Jasanya dalam industri bukan sedikit. Dilahirkan di Taiping, Perak pada 4 November 1935, Jins atau Mohamed Jins Shamsuddin, Jins menceburi dunia seni ketika muda pada 1951 kemudian menjadi pengarah pada 1969.

Karya terakhirnya, Pasir Salam tidak dapat disiapkan dan tertangguh sejak lebih 10 tahun lalu. Segala props seperti senjata dan kostum masih tersimpan.

Tanggal 1 Oktober 2008 menjadi hari terakhirnya menjadi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selepas memegang jawatan itu selama tiga tahun berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:04 AM