JINS ketika dikunjungi SENIMAN di kediamannya, pagi tadi. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
JINS ketika dikunjungi SENIMAN di kediamannya, pagi tadi. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Oleh Nurul Huda Kosnon


Hulu Klang: “Saya maafkan individu yang tidak bertanggungjawab ini. Kalau mahu tahu keadaan sebenar suami, datanglah ke rumah kami dan lihat sendiri,” kata Puan Sri Halijah Abdullah,56, isteri kepada seniman, Tan Sri Jins Shamsuddin, 80.

Beliau mengulas isu foto suaminya memakai singlet dan amat kurus yang tersebar di laman sosial sejak semalam.

Laman web Harian Metro semalam menyiarkan kenyataan anak Jins, Putera Hang Jebat yang menafikan ayahnya semakin uzur sebaik foto bekas pengarah filem terkenal itu tersebar.

Putera Hang Jebat dipetik berkata, ayahnya sihat dan mungkin selera makan tidak seperti dulu menyebabkannya nampak kurus.

Menurut Halijah, foto itu dimuat naik seorang rakan suaminya yang datang menziarahinya pada Sabtu lalu.

“Saya ada maklumkan kepadanya jangan muat naik foto suami di laman sosial, tetapi amanah itu tidak dijaga dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), diketuai Presidennya, Zed Zaidi, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, sahabat Jins termasuk seniwati Mariani Ismail.

Halijah berkata, dia sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku.

“Boleh ambil gambar, tetapi tak perlu sebarkan kerana dengan keadaan suami yang ketika itu hanya memakai singlet memalukan dirinya dan keluarga.

“Saya dan anak juga tidak dapat menerima spekulasi yang dibuat oleh pelbagai pihak tidak bertanggungjawab berkaitan keadaan suami.

“Dalam foto itu memang keadaan suami nampak kurus, tetapi Alhamdulillah, dia sihat. Saya yang jaga dia, saya tahu keadaannya,” katanya.

Menurutnya, ingatan suaminya semakin terjejas berikutan menghidap penyakit Alzheimer sejak empat tahun lalu.

“Dia juga tidak boleh ingat saya sebagai isterinya, apatah lagi anak. Doktor nasihat supaya saya kerap membawanya berjalan-jalan keluar dari rumah setiap hari.

“Dia juga gemar membaca surat khabar, walaupun tidak memahaminya, namun sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan ingatannya,” katanya.

Katanya, dia berharap orang ramai sentiasa mendoakan kesihatan suaminya selain tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh memburukkan lagi imejnya.

Sementara itu, Zed berkata, pihaknya mengadakan bacaan doa dan sumbangan menerusi biro kebajikan SENIMAN untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada Jins dan keluarga.

“Keadaan dia (Jins) baik. Tolong jangan sebarkan foto berkenaan kerana ia hanya akan menjejaskan imejnya serta keluarganya.

“Persatuan akan memantau keadaan beliau dari semasa ke semasa dan akan memberi bantuan susulan yang sewajarnya jika diperlukan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 8:37 PM