Najiy Jefri


Hulu Kelang : “Saya tepuk belakang badannya beberapa kali supaya dia muntah, tetapi keadaannya ketika itu sudah lemah manakala tangannya pula sudah sejuk,” kata Puan Sri Halijah Abdullah, 56, isteri pelakon dan pengarah veteran, Tan Sri Jins Shamsuddin yang meninggal dunia di sebuah klinik di Taman Melawati, di sini, dipercayai akibat sesak nafas selepas minum petang di rumahnya jam 5.45 petang tadi.

Halijah berkata, pada petang kejadian dia membelikan Jins kuih cekodok kerana ia adalah kuih kegemarannya.

“Ketika makan, dia tiba-tiba sesak nafas akibat tercekik,” katanya.

Halijah berkata, dengan bantuan jiran, dia membawa suaminya ke klinik berkenaan dan ketika dalam perjalanan Jins sudah tidak sedarkan diri.

“Sebaik tiba di klinik, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia. Saya meminta doktor memeriksa nadinya sebanyak empat kali kerana tidak percaya dia akan meninggalkan saya selain tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir, di sini, malam ini.

Menurut Halijah, arwah juga kurang bercakap seperti kebiasaan semalam.

“Selalunya dia akan bercakap tanpa henti dari jam 2.30 petang hingga 9 malam. Namun, hari ini dia diam saja.

“Selain itu, sejak lima bulan lalu keadaannya juga semakin lemah setiap kali menjelang petang selain pergerakannya juga sudah makin terbatas.

“Walaupun dia sudah tiada tapi saya masih teringat setiap rutin harian kami. Saya pasti akan merindui setiap waktu bersamanya,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Difahamkan, ketika hayatnya Jins tidak menghidap sebarang penyakit kecuali Alzheimer sejak Februari 2011.

Jenazah Jins yang juga pelakon dan pengarah legenda itu dibawa ke rumahnya dan akan disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan, di sini, esok.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan jam 11 pagi esok.

Hasil perkongsian hidup dengan Halijah, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Dalam perkahwinan pertamanya dengan Allahyarham Seniwati Rahmah Rahmat pada 6 Februari 1961, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Jefri yang kini menetap di Singapura.

Allahyarham dan Rahmah bercerai dua tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 10:15 PM