PLATINI digantung lapan tahun jawatankuasa etika FIFA.
PLATINI digantung lapan tahun jawatankuasa etika FIFA.
AFP

Paris: FIFA memaklumkan kepada Michel Platini beliau tidak boleh terus merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengenai penggantungan lapan tahun yang dikenakan terhadapnya, dedah peguam legenda Perancis itu semalam.

Presiden UEFA yang digantung itu perlu menerima notis daripada jawatankuasa etika badan induk dunia itu terlebih dulu sebelum merayu kepada jawatankuasa rayuan FIFA.

Hanya jika mereka menolak rayuannya maka beliau boleh merayu kepada CAS.

Proses yang mengambil masa itu bermakna peluangnya untuk bertanding merebut jawatan presiden FIFA pada pemilihan 26 Februari ini amat tipis sekalipun jika penggantungan itu ditarik balik.

“Dihalang FIFA untuk terus ke CAS, dihalang daripada membuat rayuan menentang penggantungan itu kerana kami tidak tahu apa alasannya, Michel Platini dan penasihatnya mengecam tindakan sabotaj yang disasarkan untuk menyekatnya daripada dipilih sebagai presiden FIFA,” menurut satu kenyataan peguamnya semalam.

Platini memerlukan persetujuan FIFA untuk membawa kesnya terus kepada CAS.

Beliau dijangka tidak akan diberitahu alasan penggantungannya hingga awal bulan depan.

Semua calon untuk menggantikan Sepp Blatter sebagai pemimpin FIFA perlu mengemukakan pencalonan mereka kepada Domenico Sala, ketua suruhanjaya pemilihan FIFA selewat-lewatnya 26 Januari ini.

Dalam satu temuramah kelmarin, Platini mengakui kecewa dengan proses itu.

“Apa yang menyukarkan saya tidak tahu bila akan menerima notis itu. Selagi saya tidak menerima alasan penggantungan saya tidak boleh merayu kepada CAS,” katanya.

Platini dan Blatter digantung jawatankuasa etika FIFA mengenai bayaran AS$2 juta (RM8.6 juta) kepada Platini pada 2011 kerana kerja yang dilakukannya antara 1999 dan 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 8:35 AM