JURURAWAT memeriksa kesihatan ke atas ibu tumpang yang tinggal di asrama.
JURURAWAT memeriksa kesihatan ke atas ibu tumpang yang tinggal di asrama.
DR NAYNA Patel dari Klinik Akanksha menjalankan prosedur pemindahan embrio ke rahim ibu tumpang.
DR NAYNA Patel dari Klinik Akanksha menjalankan prosedur pemindahan embrio ke rahim ibu tumpang.
SI COMEL yang ditunggu-tunggu perlu mendapat visa sebelum diserahkan kepada ibu bapanya.
SI COMEL yang ditunggu-tunggu perlu mendapat visa sebelum diserahkan kepada ibu bapanya.
CHRISTINA (tigadari kiri) bersama rakan ibu tumpang lain selesa tinggal di asrama.
CHRISTINA (tigadari kiri) bersama rakan ibu tumpang lain selesa tinggal di asrama.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Bagi ribuan pasangan yang tidak mempunyai anak di seluruh dunia, India menjadi destinasi tumpuan untuk menunaikan impian mereka menjadi ibu bapa. Ini kerana ia mempunyai doktor terlatih, klinik kesuburan yang diiktiraf dan ramai wanita miskin bersedia menjadi ibu tumpang.

Tetapi itu dulu. Kini kerajaan India sudah mengharamkan perkhidmatan ibu tumpang kepada warga asing dan mengarahkan klinik kesuburan menghentikan amalan mengupah wanita mengandungkan anak untuk mereka. Langkah itu didakwa bertujuan melindungi wanita daripada dieksploitasi, walaupun sesetengahnya berkata pengharaman berkenaan sebenarnya menyukarkan lagi hidup mereka.

“Menjadi ibu tumpang adalah antara cara untuk kami memiliki rumah sendiri atau menggantikan atap rumah. Pendapatan daripada sekali menjadi ibu tumpang lebih banyak berbanding bekerja selama 10 tahun sebagai pembantu rumah,” kata Tina Rajesh Chavan, menerusi telefon. Ketika dihubungi dia berada di Anand, hab terbesar untuk klinik kesuburan di Gujarat, di barat India.

India adalah antara beberapa negara di dunia yang membenarkan khidmat ibu tumpang apabila wanita boleh diupah untuk mengandungkan anak pelanggan melalui proses permanian beradas (persenyawaan in-vitro) dan pemindahan embrio.

Kementerian Dalam Negeri India bagaimanapun mengeluarkan arahan kepada semua kedutaan India di luar negara untuk tidak memberi visa kepada pasangan yang mahu ke negara itu bagi tujuan berkenaan atau ‘pelancongan reproduktif’ kerana amalan itu sudah menjadi buah mulut masyarakat dunia.

Walaupun undang-undang berkaitan ibu tumpang belum diluluskan, kerajaan sudah mengemukakannya dalam afidavit di Mahkamah Agung pada hujung Oktober lalu. Ia mengatakan ‘India tidak menyokong perkhidmatan ibu tumpang komersial dan skop ibu tumpang ini terhad kepada pasangan warga India yang mandul saja, tidak kepada warga asing’.

Dalam arahan terdahulu, India tidak membenarkan pasangan gay dan tidak berkahwin serta orang bujang daripada mengupah ibu tumpang.

Seorang pegawai kerajaan yang tidak mahu namanya didedahkan kerana dia tidak layak untuk bercakap de­ngan media memberitahu, peraturan ketat itu dibuat kerana mahu melindungi wanita daripada dieksploitasi apatah lagi tanpa perlindungan keselamatan undang-undang.

Bagaimanapun, Chavan, yang sudah menjadi ibu tumpang kepada dua pasangan warga asing berkata, pendapatannya daripada dua perkhidmatan itu membolehkan tiga anaknya menamatkan pelajaran di sekolah menengah tinggi.

“Jika tidak kerana upah menjadi ibu tumpang, sudah lama saya terpaksa memberhentikan persekolahan mereka,” kata wanita berusia 35 tahun itu. Kini dia bekerja sebagai penjaga bayi, sementara ibu bapa bayi berkenaan menunggu visa si kecil diluluskan.

“Pengharaman ini tidak membantu sesiapa. Ia menutup pintu untuk orang miskin seperti kami mendapatkan pendapatan tambahan,” kata Chavan.

Ibu muda itu memberitahu daripada dua kali perkhidmatannya, dia menerima 500,000 rupee (RM32,594) bagi setiap kehamilan. Itu adalah harga upah biasa di Gujarat apabila industri ibu tumpang dijalankan secara teratur, tetapi kadar bayaran berbeza di negeri lain kerana ada wanita menerima upah serendah 150,000 rupee (RM9,736).

Kos lebih murah

Sesetengah aktivis hak asasi wanita berkata, perniagaan ibu tumpang yang semakin berkembang di India itu sepatutnya dipantau, bukan diharamkan. Menurut mereka, pengharaman itu hanya akan mendorong orang melakukannya secara senyap-senyap.

“Dalam tempoh 10 tahun lalu, klinik kesuburan yang menawarkan khidmat ibu tumpang ada di mana-mana, sama ada di bandar besar atau pekan kecil. Dengan kemunculan klinik itulah timbulnya ejen yang mencarikan wanita untuk menjadi ibu tumpang,” kata Manasi Mishra, penyelidik dan penulis dua laporan yang ditaja oleh kerajaan mengenai ibu tumpang di India.

“Pemilik klinik kesuburan tidak akan menghentikan perniagaan profesional mereka. Sebaliknya semua proses ini akan dilakukan secara rahsia dan apabila keadaan ini berlaku, akan lebih susahlah untuk mengetahui eksploitasi wanita yang diupah menjadi ibu tumpang,” sambungnya.

Sejak India membenarkan perkhidmatan ibu tumpang komersial pada 2001, ribuan klinik kesuburan dibuka di seluruh negara, menjadikan ia perniagaan dengan pendapatan RM4.23 bilion hingga RM9.7 bilion setahun. Walaupun tiada data rasmi, tetapi berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di India ada kira-kira 3,000 klinik kesuburan.

Klinik ini sudah menarik kedatangan pasangan dari seluruh dunia termasuk Britain, Amerika Syarikat, Australia, Afrika Selatan dan Jepun. Di India, kos satu kehamilan tumpang adalah sekitar RM84,660 hingga RM148,155 berbanding RM634,950 di Amerika Syarikat apabila perkhidmatan ibu tumpang dibenarkan di kebanyakan negeri. Lain negara yang membenarkan perkhidmatan ibu tumpang adalah Russia, Georgia dan Ukraine.

Selain India, Thailand juga menjadi destinasi popular bagi pasangan yang mahukan anak melalui ibu tumpang, tetapi skandal baru-baru ini yang membabitkan pasangan luar negara menyebabkan kerajaannya meluluskan undang-undang mengharamkan perkhidmatan ibu tumpang komersial.

Bimbang hilang pendapatan lumayan

Aktivis di India berkata, walaupun industri itu menguntungkan, kekurangan aspek perlindungan menyebabkan ribuan wanita miskin dan buta huruf dieksploitasi oleh ejen haram atau dilantik, doktor tidak bertanggungjawab dan pemilik klinik kesuburan sendiri.

Mereka mendakwa ejen mengambil upah yang tinggi dan klinik menolak setiap kos daripada makanan (untuk ibu tumpang) sehinggalah ujian perubatan menyebabkan bayaran diterima ibu tumpang jauh lebih rendah berbanding jumlah dijanjikan.

Beberapa embrio mungkin ditempelkan pada dinding rahim tanpa pengetahuan ibu tumpang. Hampir semua bayi dilahirkan secara pembedahan, tidak kira sama ada kaedah itu benar-benar diperlukan dari sudut perubatan atau tidak.

“Biasanya wanita tidak tahu isi kandungan perjanjian yang mereka tandatangani, kecuali rahimnya akan digunakan untuk mengandung,” kata Ranjana Kumari, pengarah di Pusat Kajian Sosial di New Delhi.

Mengikut peraturan, untuk menjadi ibu tumpang, seseorang wanita mestilah berumur sekurang-kurangnya 21 tahun, tetapi ejen biasanya memujuk keluarga yang mempunyai anak gadis berusia semuda 16 tahun untuk ‘meminjamkan’ rahimnya dengan menyediakan sijil kelahiran palsu.

Kumari memberitahu, pemantauan ketat ke atas industri itu akan ‘memanfaatkan semua pihak - bakal ibu bapa, ibu tumpang dan bayi yang dilahirkan’.

Selepas bertahun-tahun membuat pertimbangan, akhirnya India tampil dengan peruntukan undang-undang yang mengehadkan khidmat ibu tumpang hanya untuk pasangan warga India. Antara yang terkandung dalam cadangan undang-undang itu ialah tidak membenarkan penggunaan ejen, pasangan yang mencari perkhidmatan itu perlu membayar semua perbelanjaan si ibu tumpang dan hanya membenarkan wanita berumur antara 21 hingga 35 tahun menjadi ibu tumpang. Ia juga menetapkan wanita yang sudah lima kali melahirkan anak (yang hidup) tidak boleh menjadi ibu tumpang.

Majlis Penyelidikan Perubatan India kini dalam proses mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap peraturan baru itu sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Ramai wanita yang bersetuju menjadi ibu tumpang melihatnya sebagai satu pekerjaan dengan pendapatan lumayan yang jarang diperoleh .

Bagi Christina Christian, 26, ia adalah satu cara untuknya mempunyai wang yang cukup untuk membeli rumah sendiri. Dia kini tinggal di asrama di Anand bersama ibu tumpang lain yang mengandungkan anak untuk pasangan warga asing.

Asrama itu diselenggarakan oleh Klinik Akanksha apabila pekerjanya sering memantau aktiviti wanita di situ dan memastikan mereka makan serta mengambil vitamin mengikut jadual. Malah pekerjanya juga sentiasa memantau supaya ibu tumpang tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kandungan mereka.

“Kalau kami rasa dieksploitasi, kami tidak akan datang sini. Ini adalah pilihan kami sendiri. Ada ramai ibu tumpang di sini yang datang buat kali kedua. Kalau benar mereka dieksploitasi, buat apa mereka datang lagi?” soalnya mengakhiri perbualan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 11:22 AM