Priyanka Chopra dan Nick Jonas
Priyanka Chopra dan Nick Jonas
Agensi

Los Angeles: Pasangan Priyanka Chopra, 40, dan Nick Jonas, 30, menamakan bayi perempuan mereka Malti Marie Chopra Jonas yang dilahirkan pada 15 Januari lalu.

Dilahirkan menggunakan kaedah ibu tumpang, bayi mereka lahir dalam keadaan pra-matang kerana lahir 12 minggu lebih awal.

Sepatutnya, bayi itu dijangka lahir pada bulan ini. Bayi itu juga terpaksa ditahan di hospital bagi pemantauan kesihatannya.

Selepas sudah cukup sihat, barulah pasangan terbabit boleh membawanya pulang rumah.

Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan rasmi sama ada Malti Marie sudah dibawa pulang atau masih di hospital.

Pada Januari lalu, Chopra dan Jonas berkongsi berita gembira mereka bakal menimang cahaya mata menerusi kaedah ibu tumpang.

"Kami sangat gembira untuk memaklumkan sudah memiliki bayi sulung melalui ibu tumpang. Kami memohon privasi pada waktu ini untuk memberi fokus kepada keluarga. Terima kasih," kata Priyanka.

Difahamkan, ibu tumpang terbabit melahirkan bayi berkenaan di usia kandungan 27 minggu di Hospital Southern California, Amerika Syarikat.

Ruang komen di perkongsian mereka dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada peminat dan rakan selebriti.

Piyanka dan Jonas berkahwin di India pada Disember 2018 dalam acara dua hari yang menyaksikan upacara mengikut agama Kristian dan Hindu. Pasangan itu kini menetap di Los Angeles.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 1:41 PM