FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Reuters

Moscow: Rusia bakal menguatkuasakan undang-undang menghalang warga asing daripada menggunakan khidmat ibu tumpang dalam kalangan rakyatnya.

Larangan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat di Parlimen, Vyacheslav Volodin, baru-baru ini.

Khidmat ibu tumpang berbayar adalah sah di Rusia tetapi amalan itu dikritik oleh kumpulan agama sebagai mengkomersialkan kelahiran kanak-kanak.

"Segala-galanya mesti dilakukan untuk melindungi kanak-kanak dengan melarang warga asing menggunakan perkhidmatan ibu tumpang.

"Kami akan membuat keputusan ini pada awal Disember," kata Volodin dalam aplikasi Telegram.

Beliau berkata, kira-kira 45,000 bayi yang dilahirkan oleh ibu tumpang dibawa ke luar negara sejak beberapa tahun lalu.

"Pemerdagangan kanak-kanak tidak boleh diterima," tambahnya.

Penggubal undang-undang Rusia meluluskan rang undang-undang itu hampir sebulat suara dalam bacaan pertamanya pada Mei.

Jika diluluskan dalam bacaan ketiga terakhir, ia akan disemak oleh dewan atas di Parlimen dan ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden Vladimir Putin.

Kerajaan Ukraine mendakwa, Rusia mengusir secara paksa lebih 12,000 kanak-kanak Ukraine sejak menceroboh jirannya pada Februari, manakala 440 orang mati dalam perang dan ratusan hilang.

Rusia menafikan pengusiran paksa, mengatakan pergerakan orang ke Rusia dari Ukraine adalah untuk melindungi orang awam daripada askar Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 12:19 PM