TEERAPONG ditahan Biro Siasatan Pusat (CIB) kerana menyeludup sel sperma secara haram ke Laos dan Kemboja untuk ibu tumpang. FOTO Agensi
TEERAPONG ditahan Biro Siasatan Pusat (CIB) kerana menyeludup sel sperma secara haram ke Laos dan Kemboja untuk ibu tumpang. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang lelaki Thailand ditahan, Sabtu lalu kerana disyaki menyeludup sel sperma secara haram ke sempadan Laos dan Kemboja untuk ibu tumpang.

Portal Thaiger melaporkan sepasukan polis dari Biro Siasatan Pusat (CIB) menahan Teerapong, 33, di rumah di wilayah Nonthaburi, pada 24 Februari.

Teerapong didapati menyeludup sel sperma itu ke negara jiran dengan suspek menghadapi dua pertuduhan.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 242 Akta Kastam iaitu mengimport atau mengeksport barangan yang belum melalui proses kastam atau tanpa kebenaran.

Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 41 Surrogacy Act iaitu menjual, mengeksport atau mengimport sperma, ovum atau embrio.

Teerapong ditangkap susulan penahanan seorang lagi suspek, Nithinon, pada 2017, kerana menyeludup sel sperma ke Laos.

Ketika itu, pegawai turut merampas tangki nitrogen dan enam tiub sperma beku.

Nithinon mengaku Teerapong mengupahnya untuk mengambil sel sperma di Bangkok dan menghantarnya ke klinik di Laos untuk ibu tumpang.

Bagaimanapun lelaki itu gagal ditangkap kerana bersembunyi di wilayah Nonthaburi selama tujuh tahun sehingga ditangkap pada Sabtu.

Teerapong mengaku melakukan jenayah itu dan mendakwa sudah tidak terbabit dengan kegiatan itu pada 2017.

Dia mengaku terbabit dalam penyeludupan sperma haram selama tiga tahun dari 2014 hingga 2017, dan memperoleh 10,000 baht (kira-kira RM1,323) hingga 15,000 baht (kira-kira RM1,985) bagi setiap sel sperma.

Menurutnya, dia boleh menyeludup kira-kira 100 sel pada satu masa.

Siasatan lanjut mendedahkan, seorang warga China adalah dalang utama penyeludupan itu.

Kaedah ibu tumpang dilakukan warga China yang ingin mendapatkan kerakyatan Laos atau Kemboja untuk menjalankan perniagaan haram dan pengubahan wang haram di negara berkenaan.

Namun, Teerapong tidak menyebut sebarang pengubahan wang haram atau pembabitan warga China di sebalik kegiatan penyeludupan itu.

Dia mendakwa kaedah ibu tumpang di Laos dan Kemboja kurang rumit dan jauh lebih murah berbanding di Thailand.

Menyeludup sel sperma merentasi sempadan ke Laos dan Kemboja untuk ibu tumpang adalah haram kerana pelbagai kebimbangan undang-undang, etika dan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 3:16 PM