SAIFUDDIN menggunakan obor larian sebagai simbolik perasmian sambil disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (tiga dari kiri), Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kiri) pada Larian Hari Polis Community Safe Run 7km di Dataran Putrajaya, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
SAIFUDDIN menggunakan obor larian sebagai simbolik perasmian sambil disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (tiga dari kiri), Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kiri) pada Larian Hari Polis Community Safe Run 7km di Dataran Putrajaya, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Kerajaan akan meneliti dua sistem pengurusan pekerjaan asing yang didapati fungsinya bertindih oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan memutuskan sama ada salah satu daripada sistem itu akan dimansuhkan selepas penelitian dibuat.

Menurutnya, pihaknya mengikuti rapat laporan oleh PAC itu dan pegawainya akan meneliti lanjut pendedahan mengenai dua sistem berkenaan.

"Kami akan buat keputusan (mansuh salah satu atau tidak) apabila kami teliti semua perkara.

"Dalam soal pengurusan pekerja asing, ada empat falsafah digunapakai iaitu mengurangkan kos migran, mempercepatkan proses kelulusan, menjaga kebajikan pekerja asing dan menjaga keperluan majikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Larian Hari Polis 'Community Safety Run' Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, PAC mendapati berlaku pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing sekali gus dilihat membazirkan wang awam.

Dua pertindihan itu membabitkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Laporan itu mendedahkan, sistem FWCMS digunakan selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ia jelas melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan 'Identification' (ID) dalam sistem FWCMS itu dan sudah melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya satu siasatan dijalankan.

PAC juga mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri turut meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem yang sama berkonsepkan 'single window' pada 26 Ogos 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 2:01 PM