ISMAIL Mohd Noor
ISMAIL Mohd Noor
Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Bestinet Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) iaitu platform untuk mendaftarkan pekerja asing di Malaysia menegaskan ia hanya penyedia sistem penyelesaian berpusat dan bukan agensi pengambilan pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ismail Mohd Noor berkata, FWCMS adalah platform yang berkesan dan cekap untuk negara sumber dan majikan di Malaysia mendaftarkan pekerja asing bermula dari awal proses hingga ke peringkat akhir.

“FWCMS adalah sistem dalam talian yang digunakan semua negara sumber dan majikan tempatan untuk mendaftarkan pekerja asing yang akan bekerja di negara ini.

“Menerusi sistem bersepadu ini, ia dapat mengenal pasti mana-mana calon atau pemohon yang disenarai hitam atau mempunyai latar belakang kesihatan yang mencurigakan. Ini bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak saja dapat bekerja di negara ini.

“Jika dulu majikan perlu menunggu sehingga tiga ke enam bulan dengan adanya sistem ini, majikan dapat menerima pekerja asing dalam bulan yang sama selepas memohon,” katanya dalam taklimat media.

Minggu lalu, FWCMS menerima anugerah sebagai antara 40 projek digital terbaik di dunia pada Anugerah Kemuncak Dunia 2018 di Austria, yang diiktiraf dalam memenuhi matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dipilih daripada 400 penyertaan daripada 180 negara termasuk Austria, Georgia, India dan Portugal.

Ditubuhkan pada 2008, Ismail berkata, Bestinet adalah organisasi teknologi maklumat (IT) yang memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian teknologi, aplikasi dan infrastruktur rentas sempadan yang komprehensif kepada pelanggan sektor awam dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 8:18 AM