Kuala Lumpur: Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), syarikat yang membangunkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) mengakui tidak mempunyai kontrak dengan kerajaan untuk melaksanakan sistem berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif Bestinet Tan Sri Azmi Khalid berkata, sebaliknya projek rintis yang direka untuk meningkatkan kecekapan dalam proses mendapatkan buruh asing itu beroperasi secara bukti konsep (POC) atau ujian.

“Saya pun kurang selesa dengan POC ini dan harap kerajaan dapat menilai kembali kaedah itu

“Namun yang paling penting FWCMS tidak mengenakan sebarang caj kepada pengguna sistem sama ada majikan mahu pun pekerja asing,” katanya pada sidang media, semalam.

Sebelum ini Jabatan Imigresen menggantung pelaksanaan sistem pemprosesan visa dan pemeriksaan kesihatan biometrik pekerja asing milik Bestinet selepas timbul kontroversi selain bantahan banyak pihak dalam industri terbabit.

Malah agensi pekerja asing mendakwa berlaku kenaikan yuran mendadak selepas pelaksanaan FWCMS iaitu daripada RM15 kepada RM250.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Bestinet kerana isu pemprosesan visa tidak ada kena mengena dengan syarikat berkenaan.

Persatuan Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (APJATI) yang menggunapakai sistem berkenaan turut kesal dengan dakwaan berkenaan kerana FWCMS adalah sistem pemeriksaan kesihatan holistik yang dapat memastikan pekerja Indonesia yang masuk ke Malaysia adalah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit.

APJATI menjelaskan bahawa pemeriksaan kesihatan dan urusan visa adalah dua perkara berbeza kerana itu FWCMS tidak ada kaitan dengan kadar bayaran visa.

FWCMS merupakan sistem pengurusan dalam talian yang disokong oleh infrastruktur pengurusan pemprosesan data yang terjamin dan selamat yang dibangunkan untuk kerajaan Malaysia.

Dua modul utama di bawah FWCMS iaitu bio-perubatan dan permohonan secara elektronik bagi visa dengan rujukan (eVDR) yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya mulai 15 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:23 AM