GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
BERNAMA

Ipoh: Syarikat pemborong minyak diesel didenda RM95,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas pengarah syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan menjual barang kawalan berjadual kepada syarikat tidak berlesen dua tahun lalu.

Hakim Azizah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas Chin Kah Hei, 30, yang mewakili Chin Kok Keong Trading membuat pengakuan dan memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Chin yang juga rakan kongsi perniagaan syarikat itu dan memegang lesen borong, didakwa menjual 10,920 liter diesel kepada Syarikat K2 Bitumen Sdn Bhd yang tidak mempunyai lesen atau kelulusan bertulis daripada Pegawai Bekalan di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang, Batu Gajah, kira-kira 8 pagi hingga 5 petang, 28 Dis 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 22(4) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan kesalahan berulang memperuntukkan denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Hasyutantee Khalil, manakala syarikat dan tertuduh diwakili peguam Teoh Chin Cheong.

Terdahulu, Teoh merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum atas alasan pengakuan bersalah tertuduh yang telah berkahwin menjimatkan masa mahkamah dan perniagaannya amat merosot, selain memiliki banyak hutang dengan bank yang belum dijelaskan.

Hasyutantee bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Chin supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:04 PM