GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Seorang pemilik stesen minyak di daerah ini didenda sebanyak RM50,000 selepas melanggar syarat lesen dengan membenarkan petrol diisi ke dalam tong 'jerry can' sebanyak 205 liter di premisnya, 26 Januari tahun lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini selepas agensi itu mendakwa individu berusia 67 tahun atas kesalahan berkenaan.

"Pemilik stesen minyak itu gagal mematuhi syarat yang dinyatakan di dalam lesen kerana menjual barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 205 liter yang dimasukkan ke dalam tong 'jerry can'.

"Bagi pemegang lesen runcit tidak dibenarkan menjual barang kawalan petrol atau diesel kecuali untuk tangki asal kenderaan dan kepada pengilang atau industri yang telah diberi kebenaran oleh Pengawal Bekalan Malaysia.

"Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 50,000 selepas pemilik stesen minyak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zuhairi berkata, kesalahan itu dilakukan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:11 PM