PRODUK berjenama Mahkota itu hasil penyelidikan kumpulan penyelidik MPOB yang menghasilkan bahan cucian aktif daripada minyak sawit.
PRODUK berjenama Mahkota itu hasil penyelidikan kumpulan penyelidik MPOB yang menghasilkan bahan cucian aktif daripada minyak sawit.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Sebanyak RM67.6 bilion dicatatkan industri sawit negara pada 2016, sekali gus meletakkannya antara penyumbang utama bagi sektor eksport selepas petroleum dan elektronik.

Perkembangan dan kemajuan industri berkenaan yang diterajui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu juga terus meningkatkan pertumbuhan industri sawit negara selain turut membangunkan sektor hiliran sawit bagi pengeluaran produk tambah nilai.

Terbaru, hasil penyelidikan MPOB melalui Pusat Kemajuan Oleokimia (AOTD) berjaya mencipta formulasi bahan pencuci pakaian mesra alam berasaskan sawit.

Dilancarkan pada Julai lalu, produk berjenama Mahkota itu dihasilkan melalui penyelidikan yang diketuai Pegawai Penyelidik Zulina Abd Maurad.

Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Kushairi Din berkata, cecair pencuci pakaian berasaskan minyak sawit itu mempunyai pelbagai ciri istimewa termasuk mempunyai kuasa cucian aktif dan membersih dengan lebih baik, serta mesra alam kerana lebih mudah terurai secara biologi (biodegrasi).

HASIL penyelidikan diketuai Pegawai Penyelidik Zulina Abd Maurad itu mula dikomersialkan sejak Julai lalu.
HASIL penyelidikan diketuai Pegawai Penyelidik Zulina Abd Maurad itu mula dikomersialkan sejak Julai lalu.

“Penggunaan minyak sawit adalah alternatif terbaik kepada bahan kimia fosfat dan petroleum yang sinonim dengan penghasilan cecair pencuci.

“Menerusi penyelidikan ini, kumpulan penyelidik berjaya mengubah bahan mentah minyak sawit kepada ‘esther’ dan kemudian kepada ‘sulphonated methyl esther’ yang lebih lembut untuk kulit manusia.

“Bahan aktif yang terhasil daripada minyak sawit juga menjimatkan kos menjadikan harga produk dapat dipasarkan 25 peratus lebih murah,” katanya.

Produk yang dikilangkan di Kuantan, Pahang itu sudah menembusi pasaran Semenanjung Malaysia dan turut dipasarkan di pasar raya besar Tesco.

Ahmad Kushairi berkata, pihaknya turut fokus pada strategi serampang tiga mata bagi memacu pertumbuhan industri sawit negara yang berdaya saing dan mampan.

“Dalam konteks penyelidikan industri sawit, MPOB melaksanakan strategi serampang tiga mata iaitu Strategi Pendapatan Tinggi, Strategi Pembangunan Mampan dan Strategi Tambah Nilai.

“Sejajar transformasi nasional, MPOB turut merangka Pelan TN50 yang meliputi strategi penyelidikan bagi meningkatkan daya saing dan sumbangan industri sawit kepada pembangunan ekonomi negara.

“Disamping itu, ia turut menggalakkan peningkatan nilai eksport bagi memberi manfaat kepada kesejahteraan pekebun kecil,” katanya.

Untuk rekod, lebih 600 teknologi membabitkan semua aspek sawit ditawarkan kepada pihak industri dan usahawan tempatan bagi pengkomersialan.

PENGGUNAAN minyak sawit dalam penghasilan cecair pencuci pakaian adalah alternatif yang dapat menjimatkan kos selain mesra alam.
PENGGUNAAN minyak sawit dalam penghasilan cecair pencuci pakaian adalah alternatif yang dapat menjimatkan kos selain mesra alam.

“Pencapaian MPOB dalam bidang penyelidikan berjaya menghasilkan teknologi baru dan inovasi yang dapat memanfaatkan pihak industri serta pekebun kecil. Ini bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri.

“Pembangunan produk dan formulasi baru juga dapat meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanan menerusi hasil kajian dijalankan sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Ahmad Kushairi berkata, pihaknya menerima permohonan berjumlah RM1.6 juta untuk Skim Insentif Mekanisasi Industri Minyak Sawit (OPIMIS) sehingga Ogos tahun ini.

“Permohonan yang diterima merangkumi 19 peratus pembelian mesin Cantas Elektrik dan 81 peratus lagi untuk jentera ladang serta peralatan mekanisasi.

“Sehingga kini, RM1.4 juta permohonan insentif sudah diluluskan dan RM900,000 sudah dibayar kepada pembeli manakala RM500,000 masih dalam proses pembayaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 10:06 AM