PEGAWAI penguatkuasa JAS Pulau Pinang memeriksa syarikat kitar semula di Bukit Minyak yang didapati melakukan kesalahan membuat penstoran luar tapak bagi buangan terjadual tanpa lesen. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang.
PEGAWAI penguatkuasa JAS Pulau Pinang memeriksa syarikat kitar semula di Bukit Minyak yang didapati melakukan kesalahan membuat penstoran luar tapak bagi buangan terjadual tanpa lesen. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual di Bukit Minyak, dekat sini didenda RM58,000 atas kesalahan membuat penstoran luar tapak bagi buangan terjadual tanpa lesen.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, denda itu diputuskan Mahkamah Sesyen, di sini selepas syarikat itu didapati bersalah atas dua pertuduhan yang dikemukakan.

Berikutan itu, katanya mahkamah memerintahkan syarikat itu membayar denda RM8,000 untuk pertuduhan pertama iaitu beroperasi tanpa lesen, manakala RM50,000 untuk pertuduhan kedua iaitu beroperasi tanpa memperoleh kelulusan Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) terlebih dahulu.

"Syarikat ini mempunyai lesen sebagai Premis Yang Ditetapkan (Buangan Terjadual) bagi memproses buangan terjadual.

"Bagaimanapun mereka tidak mempunyai lesen dan kelulusan EIA bagi satu tapak penstoran luar tapak di Permatang Pauh yang mana buangan distor.

"Pihak syarikat mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM58,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, semua premis atau lokasi yang digunakan untuk aktiviti membabitkan buangan terjadual termasuk penstoran perlu mendapatkan kelulusan EIA terlebih dahulu.

Katanya, kelulusan berkenaan adalah mengikut Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan seterusnya memperoleh lesen di bawah Seksyen 18 akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 5:12 PM