Zaid Salim

Marang: Remaja lelaki mengalami sesak nafas ketika membantu memadamkan kebakaran sebuah kedai makan di Kampung Merchang, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Zulbahry Sulong, berkata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Merchang yang juga anak kepada pemilik premis terbabit kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Merchang untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.36 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama empat jentera termasuk kenderaan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati terdapat tiga individu termasuk pelajar terbabit sedang memunggah barang keluar daripada premis berkenaan sebelum pasukan bomba melakukan pemadaman," katanya hari ini.

KEDAI makan yang musnah 80 peratus musnah dalam kebakaran di Kampung Merchang. FOTO Zaid Salim.
KEDAI makan yang musnah 80 peratus musnah dalam kebakaran di Kampung Merchang. FOTO Zaid Salim.

Beliau berkata, selepas kebakaran berjaya dipadamkan, lelaki terbabit kelihatan sukar untuk bernafas.

Bagaimanapun bila ditanya, remaja terbabit memaklumkan dia tidak mengalami masalah.

"Namun, kita membuat keputusan membawa mangsa ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

"Kita percaya mangsa terhidu asap ketika membantu membawa keluar barang dari dalam kedai berkenaan," katanya.

Menurutnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

Zulbahry berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari kawasan sekolah ke rumahnya berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan 80 peratus struktur kedai makan terbabit hangus.

"Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 4:51 PM