Mohd Roji Kawi

Kuching: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meneliti senarai orang yang layak dan sesuai untuk dipertimbangkan sebagai penjaga adik kepada Zayn Rayyan Abdul Matin apabila tempoh penjagaannya di institusi kebajikan tamat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya kini meneliti senarai nama dalam kalangan ahli keluarganya bagi memastikan mereka benar-benar layak menjaga kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, selepas penelitian dengan rapi, pihaknya akan mengemukakan nama orang yang layak dan sesuai itu kepada mahkamah apabila tempoh penempatan di JKM tamat pada 9 Ogos depan.

"Buat sementara itu, kanak-kanak terbabit diletakkan di bawah penjagaan rapi JKM Selangor dan pada masa yang sama kita meneliti senarai mereka yang layak untuk penjagaan selanjutnya.

"Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan langkah seterusnya sama ada menyerahkan kanak-kanak itu kepada orang yang layak atau terus dijaga rapi oleh institusi JKM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program 'Autism Empowerment Weekend' di Muzium Kebudayaan Borneo di sini, hari ini.

Seramai 800 kanak-kanak autisme menyertai program dua hari anjuran Let'z Play Therapy itu.

Semalam, JKM Selangor mendapat perintah jagaan sementara kanak-kanak itu mengikut Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim dipetik berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di institusi kebajikan bagi tempoh dua bulan sementara penyediaan laporan siasatan orang yang layak dan sesuai lengkap.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, apabila mahkamah memutuskan penjagaan kepada orang yang sesuai, JKM memberi tempoh untuk memastikan keserasian mereka dengan kanak-kanak itu.

"Walaupun mereka diberi hak mutlak untuk menjaga kanak-kanak itu nanti, JKM tetap akan memantau rapi untuk memastikan mereka serasi dan dapat menyesuaikan diri.

"Ini kerana difahamkan kanak-kanak itu mempunyai masalah percakapan yang memerlukan penjagaan rapi," katanya.

Pada Khamis lalu, ibu dan bapa kepada kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas Zayn Rayyan, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 1:14 PM