LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan perintah jagaan sementara terhadap adik kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, perintah berkenaan akan dimohon di mahkamah bagi kanak-kanak.

"Kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan akan ditempatkan di tempat selamat di bawah jagaan JKM.

"JKM akan menentukan dalam siasatan nanti sama ada orang yang layak dan sesuai untuk menjaga selepas selesai siasatan," katanya ketiga dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, JKM mengesahkan kanak-kanak berkenaan kini berada dalam jagaan JKM Selangor.

Difahamkan JKM Selangor datang ke rumah keluarga ibu bapa Zayn di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak lelaki itu dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan.

Terdapat keperluan untuk JKM mengambil kanak-kanak terbabit susulan pendakwaan ibu bapanya di mahkamah semalam.

Terdahulu ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 12:21 PM