PASAR Ikan Tawau. FOTO arkib NSTP
PASAR Ikan Tawau. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

TULAR WABAK KEPIALU BERLELUASA DI TAWAU, BERPUNCA DARI PASAR TIDAK BENAR

Tawau: Dakwaan mengenai wabak kepialu atau Tifoid kononnya berleluasa di Tawau dan dikenal pasti berpunca dari Pasar Ikan Tawau dan Pasar Tanjung adalah tidak benar, kata Pegawai Kesihatan Kawasan bagi Pejabat Kesihatan Tawau, Dr G Navindran.

Beliau berkata, terdapat tujuh kes demam kepialu direkodkan berlaku di sekitar daerah ini bagaimanapun ia bukan bersifat wabak tetapi hanya endemik (sedia ada).

"Ada tujuh kes dikesan berlaku dan melibatkan semua warga tempatan tetapi kes ini kita kenal pasti berlaku di kawasan berlainan dan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain termasuk kononnya punca wabak dari pasar ikan Tanjung Tawau," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya wabak kepialu berleluasa di Tawau serta terdapat enam kes dan seorang meninggal dunia ekoran wabak tersebut yang dikatakan berpunca dari Pasar Ikan dan Pasar Tanjung.

Mengenai maklumat tular yang salah itu, Dr Navindran berkata, pihaknya akan membuat laporan polis kerana perkara itu memberi impak kepada aktiviti ekonomi dan sosial penduduk di daerah ini.

"Akibat maklumat salah itu, orang ramai takut untuk ke pasar membeli ikan padahal kes yang direkodkan tidak mempunyai kaitan langsung dengan pasar berkenaan.

"Apa yang dipaparkan dalam media itu adalah operasi pemeriksaan kesihatan biasa yang kita jalankan terhadap penjual ikan dan bukan ikan, kalau betul ada wabak kita akan beritahu," katanya lagi.

Mengenai seorang pesakit remaja disyaki menghidap demam kepialu yang meninggal dunia, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan dan meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan terhadap perkara itu.

"Siasatan akan siap dalam dua atau tiga hari dari sekarang, ini mungkin sebab pesakit telah lama menghidapnya tetapi tidak mendapatkan rawatan ke hospital dengan segera," katanya.

Dr Navindran berkata, penyakit demam kepialu yang berpunca daripada pengabaian soal kebersihan diri dan persekitaran serta pengambilan makanan yang dicemari bakteria Tifoid boleh dirawat dengan mudah melalui rawatan awal di fasiliti kesihatan di negeri ini.

Sepanjang tahun lalu, enam kes demam kepialu direkodkan berlaku di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 8:47 PM