PETUGAS  SIPMA 2015, melakukan persiapan terakhir di Ibu Pejabat Sekretariat SIPMA 2015 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.
PETUGAS SIPMA 2015, melakukan persiapan terakhir di Ibu Pejabat Sekretariat SIPMA 2015 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.
Oleh Hafizudin Mohd Safar

Arau: Hampir 1,500 atlet bakal memeriahkan suasana apabila berkampung di negeri ini sempena penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2015 yang berlangsung selama 10 hari bermula semalam sehingga Jumaat depan.

Pegawai Penerangan SIPMA 2015 Suriawati Mohd Fadzil berkata, kejohanan kali keenam itu bakal menawarkan 276 pingat merangkumi lapan acara sukan utama iaitu olahraga, renang, tenpin boling, badminton, skuasy, hoki, bola sepak dan woodball.

Menurutnya, sebanyak tujuh institusi pendidikan membabitkan 207 pasukan seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) dan Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA) mengambil bahagian dengan Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) bertindak sebagai penganjur.

Kesemua acara sukan utama terbabit menggunakan beberapa venue seperti Pusat Akuatik Perlis untuk acara renang, Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) (badminton), Perlis Bowl (tenpin bowling) dan Stadium Universiti Malaysia Perlis (olahraga).

Acara hoki lelaki dan wanita akan dilangsungkan di padang hoki Kompleks Sukan Negeri manakala bola sepak di padang Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di Arau.

Majlis perasmian pembukaan akan dilakukan di Dewan 2020 oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh esok manakala majlis penutup bakal disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di UniMAP Pauh Putra pada 27 November.

Semua atlet dan sebahagian besar pegawai kejohanan akan menginap di perkampungan sukan yang berpusat di PTSS, Pauh sekali gus menjadi lokasi untuk pengurusan sekretariat.

“Kita menjangkakan atlet bakal memecahkan rekod dalam acara olahraga dan renang yang masing-masing menawarkan 38 pingat keseluruhan,” kata Suriawati.

Untuk rekod, MSSM muncul juara keseluruhan SIPMA 2013 dengan jumlah keseluruhan 65 emas, 44 perak dan 17 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:04 AM