Tuanku Syed Sirajuddin menerima peti wang  simbolik penerimaan sumbangan berjumlah RM800,000 daripada Yayasan Harmoni yang diwakili Pengarahnya Datuk Mohd Radzuan Abdullah.
Tuanku Syed Sirajuddin menerima peti wang simbolik penerimaan sumbangan berjumlah RM800,000 daripada Yayasan Harmoni yang diwakili Pengarahnya Datuk Mohd Radzuan Abdullah.
Oleh Aizat Sharif


Arau: “Ini pengalaman sangat bermakna dalam hidup saya apabila diundang sebagai tetamu di Istana Arau dan Alhamdulillah, rupanya masih ada yang bersimpati dengan nasib menimpa orang seperti saya dan pengalaman ini akan diabadikan sepanjang hayat hidup.”

Itu kata Siti Balqis Abdullah, 13, dari Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh, Perlis apabila dijemput sebagai tetamu pada Majlis Berbuka Puasa bersama Raja Perlis dan kerabat di Istana Arau di sini, kelmarin.

Menurutnya, bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu, manakala ibunya pula bekerja sebagai pembantu rumah di Shah Alam, Selangor.

“Apabila kami diberitahu mendapat jemputan ke Istana Arau, kami begitu bersemangat kerana ingin sangat bertemu dengan Raja Perlis serta ahli keluarganya dan lebih penting memasuki Istana Arau itu sendiri kerana jarang istana dibuka kepada orang awam seperti saya,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 100 anak yatim dan warga emas dari beberapa rumah kebajikan sekitar Perlis diundang yang turut dihadiri 350 tetamu termasuk Exco kerajaan negeri, Ketua Jabatan Persekutuan dan negeri, pegawai kanan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pada majlis sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menerima sumbangan cek bernilai RM800,000 daripada Yayasan Harmoni untuk YTSP.

Baginda menerima cek berkenaan daripada Pengarah Yayasan Harmoni Datuk Mohd Radzuan Abdullah sebelum menyerahkannya kepada Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Pengerusi YTSP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:14 AM