Asrol Awang


Kuantan: Polis menumpaskan kegiatan jenayah Geng Padil yang menjadikan warga asing sebagai mangsa samun di sekitar daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 22 dan 29 tahun itu di Jalan Batu Hitam, Beserah, di sini, pada 11 pagi susulan laporan kes samun membabitkan warga asing di Indera Mahkota 14, di sini.

"Dalam kejadian itu, suspek menggunakan sebilah parang untuk menakutkan mangsa untuk mendapatkan barangan berharga.

ASISTEN Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu (dua dari kanan) pada sidang media penahanan `Geng Padil' di Kuantan FOTO Asrol Awang
ASISTEN Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu (dua dari kanan) pada sidang media penahanan `Geng Padil' di Kuantan FOTO Asrol Awang

"Mangsa mengalami kerugian RM700 selepas sebuah telefon bimbit dan wang tunai dilarikan suspek yang menaiki sebuah kereta dipandu rakannya yang menunggu di tempat kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Unit Risikan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan menahan sebuah kereta Perodua Kancil berwarna kelabu yang dinaiki dua lelaki.

Menurutnya, ketika serbuan, dua lelaki terbabit cuba melarikan diri, tetapi gagal.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui senjata yang digunakan suspek, sebuah telefon bimbit, dompet, kad pengenalan dan beberapa komponen kenderaan dipercayai hasil kegiatan jenayah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kereta yang dinaiki oleh dua suspek terbabit adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang pada 2 Jun lalu.

"Saringan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah. Kedua-dua suspek kini direman sehingga 12 Jun ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, dengan penahanan dua lelaki terbabit, pihak polis berjaya menyelesaikan lima kes jenayah termasuk kes curi kenderaan dan pecah kedai.

Katanya, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada ahli lain turut bersama dengan geng terbabit yang memulakan kegiatan itu sejak Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 1:03 PM