Rahimi (kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang dicuri dari pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, di sini, susulan penahanan empat lelaki. FOTO FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Rahimi (kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang dicuri dari pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, di sini, susulan penahanan empat lelaki. FOTO FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya memberkas empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun bersenjatakan parang dengan melarikan dua kereta mewah di pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, di sini.

Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 26 tahun itu berjaya ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar Kedah dan Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais berkata, terdahulu polis menerima maklumat daripada pemilik pusat servis kereta berkenaan berhubung kejadian pada 21 Oktober lalu.

Katanya, mangsa mendakwa empat lelaki bersenjatakan parang itu melarikan dua kereta Mercedes Benz yang terdapat di premis berkenaan.

"Bertindak atas risikan dan maklumat awam, kesemua suspek berjaya dikesan dan ditahan di Kulim dan Sungai Petani, Kedah serta Teluk Intan, Perak antara 21 Oktober hingga 11 November lalu.

"Polis turut merampas dua kenderaan yang dilarikan itu di Teluk Intan dan Serdang, Selangor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Rahimi berkata, siasatan awal mendapati kereta mewah berkenaan dihantar ke pusat servis terbabit untuk penyelenggaraan.

Katanya, mengikut harga pasaran, kedua-dua kereta mewah itu bernilai kira-kira RM400,000.

"Kesemua suspek masing-masing mempunyai 20, 19, enam dan satu rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan air kencing terhadap satu daripada empat suspek berkenaan didapati positif methamphetamine, " katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan berikutan kesalahan melakukan samun dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan.

Dalam perkembangsan sama, Rahimi berkata, Polis Perak turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan membunuh.

Katanya, ia berikutan seorang daripada suspek yang ditahan di Teluk Intan melanggar kereta yang dipandu polis ketika cubaannya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 3:15 PM