Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kegiatan 'Geng King' yang aktif mencuri kenderaan mewah sejak tiga tahun lalu sebelum dijual ke negara jiran berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan 13 individu termasuk dalang utama kumpulan itu.

Kumpulan terbabit mensasarkan kenderaan yang bernilai lebih RM100,000 untuk dicuri dan diseludup ke negara jiran melalui laluan haram sebelum dijual pada harga RM35,000 setiap satu.

Aktiviti kumpulan berkenaan terbongkar hasil risikan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul susulan beberapa laporan kehilangan kenderaan di dalam daerah Sentul.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, polis membuat beberapa siri serbuan di Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor pada 1 Mei hingga hari ini serta menahan 13 suspek termasuk dua wanita warga asing berusia antara 24 hingga 54 tahun.

"Dalam serbuan di Kelantan, seramai lima lelaki ditangkap dengan bantuan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jeli dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan.

"Susulan tangkapan itu, polis menahan pula tiga lelaki dan dua wanita warga asing di Selangor serta tiga lelaki Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di IPD Sentul di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yong berkata, hasil penahanan semua suspek itu membawa kepada penemuan lima kenderaan iaitu dua Toyota Hilux dan masing-masing sebuah Toyota Alphard, Toyota Fortuner serta Ford Ranger yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Menurutnya, modus operandi digunakan suspek adalah menyasarkan kenderaan mewah dan menyalin frekuensi kunci kenderaan yang ditinggalkan lalu cuba membukanya.

"Selepas berjaya, suspek menggunakan 'jammer' bagi menyahaktif sistem pengesanan lokasi (GPS) untuk menghalangnya berfungsi semasa kenderaan dilarikan ke Kelantan untuk diseludup masuk ke negara jiran," katanya.

Yong Lei Choo menunjukkan kenderaan yang dirampas  pada sidang media rampasan kereta mewah yang dicuri sindiket di IPD Sentul. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Yong Lei Choo menunjukkan kenderaan yang dirampas pada sidang media rampasan kereta mewah yang dicuri sindiket di IPD Sentul. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Yong berkata, hasil soal siasat suspek mendakwa menerima upah RM2,500 bagi setiap kenderaan dan setakat ini mereka mengaku terbabit 62 kes curi kenderaan mewah membabitkan kerugian dianggarkan RM6.2 juta.

Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 5:23 PM